Harga rumah tidak masuk akal

Harga rumah tidak masuk akal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

GOLONGAN muda ma­sa kini semakin bersemangat untuk memiliki rumah sendiri, menghindari konsep menyewa, dan menaruh harapan besar pada pemilikan rumah sebagai asas untuk perjalanan kehidupan mereka.

Namun, impian ini terkadang terhalang oleh faktor utama iaitu gaji yang rendah dan kos sara hidup yang meningkat.

Orang muda melihat pemilikan rumah bukan hanya sebagai suatu keperluan, tetapi juga sebagai pencapaian penting dalam perjalanan hidup mereka dan dorongan untuk mencipta kestabilan kewangan, serta pelaburan jangka panjang.

Tinjauan yang dilakukan oleh Utusan Malaysia mendapati, rata-rata orang muda mengatakan mereka sudah tidak lagi melihat sewa sebagai pilihan utama dalam mencapai kestabilan kewangan dan membina asas kukuh bagi masa depan yang lebih baik.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penyunting Video, Khairun Badriah Adnan, 23 berkata, beliau tidak menginginkan menyewa rumah lagi, sebaliknya berhasrat memiliki sebuah kediaman sendiri untuk ditempati.

“Isu kenaikan harga rumah sering menjadi tumpuan bagi golongan muda dan sangat mustahil untuk kami memiliki rumah sendiri dengan kadar gaji minimum sekarang serta kos sara hidup di bandar yang tinggi,” katanya.

Menurut Khairun, gajinya tidak melebihi RM2,200 sebulan dan harga rumah sekarang kebanyakannya berharga RM300,000 ke atas, memungkinkannya tidak memiliki rumah dengan komitmen sedia ada.

“Saya ada buat tinjauan, ikutkan bulanan kena bayar RM1,200 untuk rumah berharga RM300,000 itu dan ikat pula selama 30 tahun.

“Bagi saya, ia tidak masuk akal memandangkan Kadar Dasar Semalam (OPR) juga naik tiap-tiap tahun,” katanya.

Jelas Khairun, kerajaan perlu meneliti semula harga rumah yang sedia ada disebabkan harga rumah meningkat saban tahun, begitu juga kos sara hidup, namun kadar gaji masih di takuk yang lama.

Bagi pekerja swasta, Ahmad Ihsan, 30, pula, keadaan ekonomi sekarang memang akan menaikkan harga pelbagai perkara termasuk tanah dan rumah sehingga membuatkan golongan muda terbantut untuk memiliki rumah kerana deposit yang tinggi.

Ihsan berkata, perkara ini satu tamparan hebat kepada perancangan peribadi golongan muda yang ingin memiliki aset sendiri.

“Kerajaan perlu bertegas wartakan dasar kenaikkan gaji minimum, supaya ramai graduan mampu merancang untuk memiliki hartanah.

“Kami tidak ingin sekadar menyewa di beberapa kawasan bandar dengan sewaan yg tinggi, sama tinggi dengan harga bayaran bulanan di bank andai mereka membeli rumah,” katanya.

Sementara itu, Pegawai Per­ikanan, Muhammad Izzuddin Rosli, 26, berpendapat, rumah merupakan aset untuk menjamin ekonomi masa depan daripada menyewa.

“Orang muda sekarang seperti saya kalau boleh ingin membeli rumah berbanding menyewa yang tidak jelas bila akan berakhir,” katanya.

Jelas Izzuddin, beliau juga risau harga hartanah yang makin naik dan tidak mahu terlalu lama menyewa sampai harga rumah melonjak tinggi.

Ujarnya, perkara itu belum lagi dicampurkan dengan kos sampingan seperti cukai pintu, cukai tanah dan lain lain.

Tambahnya, bank pula hanya bagi tempoh pinjaman sehingga 35 tahun membuatkan golongan muda teruja untuk membeli rumah.

“Cuba bayangkan apabila mencecah sahaja umur 36 tahun, tempoh pinjaman berkurang dan jika di usia 40 tahun baru dapat membeli rumah, bayaran bulanan dan premium insuran rumah akan jadi lebih mahal kerana berisiko,” katanya.-UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN