PETALING JAYA: Pertumbuhan ekonomi negara dijangka kekal sederhana pada 2024, berkembang sekitar 4.5 hingga 4.75 peratus sekiranya eksport negara terus menunjukkan trend penurunan terutama dalam sektor eksport semikonduktor yang lemah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Pensyarah Kanan Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan Universiti Utara Malaysia (UUM), Fuad Mohamed Berawi berkata, penurunan dalam eksport adalah kesan daripada ekonomi China yang agak suram.
“Selain dasar monetari dan jangkaan inflasi Amerika Syarikat (AS), ekonomi China sebagai rakan dagangan terbesar Malaysia, yang menyumbang kira-kira 20 peratus daripada eksport dan import Malaysia mendorong kepada prospek tahun depan.
“Kemuraman ekonomi China boleh memberi implikasi terhadap permintaan eksport Malaysia seperti elektronik, minyak sawit dan getah,” katanya di ketika dihubungi baru-baru ini.
Sementara itu, pensyarah kanan Universiti Keusahawanan Koperasi Malaysia (UKKM), Prof. Madya Dr. Abu Sofian Yaacob berkata, pertumbuhan ekonomi terus meningkat jika kestabilan politik dapat dikekalkan.
Katanya, kestabilan politik penting untuk ekonomi berkembang kerana ia dapat memberikan keyakinan kepada kerajaan sedia ada.
“Jika tidak ada pertelingkahan politik yang terlampau serius sehingga menjatuhkan kerajaan, maka ekonomi dijangka dapat berkembang dengan baik. Kalau pertelingkahan yang kecil-kecil itu adalah perkara biasa.
“Saya jangka KDNK boleh kerkembang antara empat hingga enam peratus pada tahun 2024. Ini kerana, kerajaan yang sedia ada mungkin lebih stabil pada 2024,” ujarnya.
Beliau berharap, kerajaan juga dapat menyemak semula dasar-dasar sedia ada bagi memudahkan perniagaan, di samping memperkukuhkan kesejahteraan rakyat dari segi kos sara hidup dan mengawal harga barang terutamanya makanan harian.
Mengulas mengenai prospek pelaburan langsung asing (FDI), beliau mengharapkan negara-negara yang sebelum ini sudah berjanji untuk melabur di Malaysia dapat menunaikan janji tersebut dan melihat aliran masuk dana tersebut pada tahun ini.
Dalam pada itu, Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) menjangkakan ekonomi akan lebih baik pada 2024 yang dibina melalui dasar Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP), rangka kerja Malaysia MADANI dan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK-12) yang merangka keutamaan dasar untuk negara
Presiden MEF, Datuk Dr. Syed Hussain Syed Husman berkata, Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia 2024 diunjurkan berkembang antara empat peratus hingga lima peratus iaitu lebih baik daripada unjuran pertumbuhan KDNK 2023 di paras empat peratus, dan dijangkakan akan diterajui oleh sektor perkhidmatan.
Tambah beliau, pelabur baharu yang besar (dijangka diterima negara) juga akan membawa teknologi baharu dan mewujudkan pekerjaan baharu bernilai tinggi.
“Ini akan dapat memberi lebih peluang kepada graduan graduan baharu mendapat pekerjaan yang lebih baik,” katanya.
Bagaimanapun kata beliau, meskipun pertumbuhan KDNK diunjurkan lebih baik pada 2024, namun keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu terutamanya disebabkan konflik Russia-Ukraine dan Israel-Palestine yang berpanjangan, akan memberi kesan kepada ekonomi negara.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pengusaha Kecil dan Sederhana (Samenta), Datuk William Ng berpandangan, cabaran yang perlu diselesaikan (oleh dunia) adalah konflik geopolitik seperti di Ukraine serta ketegangan perdagangan antara Amerika Syarikat dan China.
“Sekiranya dua isu panas ini tidak dapat diselesaikan atau sekurang-kurangnya tidak meningkat, prospek ekonomi 2024 akan terjejas. Dari perspektif domestik, kita lihat kerajaan perpaduan semakin stabil, dan ini adalah bagus untuk pertumbuhan ekonomi,” katanya.
Tambah William, sekiranya rasionalisasi subsidi dilaksanakan secara terancang dan secara beransur, ia akan ada kesan yang minimum kepada pertumbuhan ekonomi. – UTUSAN
INFO:
KDNK 2023
S1: 5.6%
S2: 2.9%
S3: 3.3%
S4: 4.2% (jangkaan penganalisis)
Tahunan: 4 (jangkaan BNM)
KDNK 2024: 4-5 peratus (jangkaan BNM)










