Dividen KWSP dijangka 6.5 peratus?

Dividen KWSP dijangka 6.5 peratus?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan kadar dividen 2023 lebih tinggi antara 5.5 hingga 6.5 peratus, menurut pakar ekonomi.

Untuk 2022, KWSP mengumumkan kadar dividen seba­nyak 5.35 peratus bagi Simpanan Konvensional dan 4.75 peratus untuk Simpanan Syariah.

Pakar ekonomi berpanda­ngan, jangkaan agihan kadar dividen lebih baik untuk 2023 berdasarkan prestasi sukuan tahun semasa KWSP.

Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid, berkata, selain laporan prestasi KWSP yang baik untuk setiap suku pada 2023, ekonomi Malaysia juga terus berkembang, memberi petunjuk bahawa KWSP mampu memberikan di­viden yang lebih baik.

“Tambahan lagi, pergerakan pengurusan kanan KWSP berpindah memegang portfolio yang lebih besar di Kementerian Kewangan dan Jabatan Perdana Menteri, juga memberi petunjuk kecemerlangan pe­ngurusan KWSP sehingga menarik perhatian pucuk pimpinan negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, KWSP memiliki skala ekonomi yang lebih mampan dengan aset di bawah pengurusan (AUM) lebih RM1.1 trilion.

“Justeru, dana persaraan nasional ini mempunyai kelebihan dari segi pilihan pelaburan mahupun proses rundingan dengan pengurus dana luar,” katanya.

Jelas beliau, antara cabaran besar KWSP adalah mengimbangi pelaburan di dalam dan di luar negara, terutamanya menyokong syarikat-syarikat tempatan dari aspek pelaburan modal dalam mengembangkan keuntungan mereka dan memakmurkan negara.

“Namun indeks komposit Bursa Malaysia tidak menunjukkan trend peningkatan yang ketara, contohnya indeks Bursa pernah melebihi 1500 mata pada Januari 2022, namun untuk keseluruhan tahun 2023, indeks hanya berlegar pada paras 1,400 ke 1,450 mata.

“Ini disebabkan oleh faktor pasaran modal dunia yang terarah kepada Amerika Syarikat berikutan Rizab Persekutuan (Fed) terus menaikkan kadar faedah pada 2023, mempengaruhi pengurus dana asing untuk mengubah portfolio pelaburannya dari Bursa Malaysia ke negara itu,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Pusat Pengajian Ekonomi, Kewa­ngan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr. Ahmad Hakimi Tajuddin berkata, dividen KWSP pada 2023 diramal pada kadar 5.3 hingga 6.3 peratus.

Jelas beliau, prestasi yang lebih baik oleh KWSP pada tahun 2022 dan pertumbuhan ekonomi keseluruhan negara menyumbang kepada unjuran dividen yang lebih tinggi.

“Walaupun menghadapi cabaran pasaran global, syarikat-syarikat besar tempatan dalam industri perbankan, minyak dan gas serta pembinaan, telah mencatat keuntungan­ stabil dan ini telah meningkatkan potensi pula­ngan KWSP.

“Secara keseluruhan, prestasi KWSP pada 2023 menunjukkan pertumbuhan yang lebih baik dan ini pasti membuka jalan untuk pengumuman dividen yang positif,” katanya.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×