PETALING JAYA: Malaysia Building Society Berhad (MBSB) melaporkan penyusutan untung sebelum cukai (PBT) sebanyak RM262.5 juta bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan berakhir 30 September 2023 berbanding RM382.6 juta bagi tempoh yang sama tahun sebelumnya.
Bagi tempoh sama, pendapatan bersih dibiayai Kumpulan direkodkan pada RM794.7 juta, lebih rendah sebanyak RM317.1 juta, berikutan terutamanya daripada kos pembiayaan yang lebih tinggi.
Jumlah deposit Kumpulan meningkat sebanyak 13.2 peratus tahun ke tahun terutamanya disebabkan oleh peningkatan dalam deposit berjangka.
Sementara itu, nisbah akaun semasa dan akaun simpanan (CASA) bertambah baik kepada enam peratus didorong oleh kempen CASA bersasar yang dilancarkan tahun ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan MBSB, Rafe Haneef berkata, persaingan untuk deposit semakin sengit apabila pelanggan perbankan memilih pulangan yang lebih tinggi.
Kataya, Kumpulan akan terus memberi tumpuan untuk meningkatkan nisbah CASA untuk mengoptimumkan dan mengurus kos pembiayaan dengan berkesan.
“Objektif utama kami menjelang 2024 adalah untuk memperkenalkan rangkaian penawaran produk yang lebih meluas, khususnya penyelesaian tersuai kepada perusahan kecil dan sederhana (PKS) dan pelanggan runcit terutamanya dalam segmen mewah besar-besaran.
“Strategi ini akan berpaksikan kepada peningkatan berterusan kami dalam pendigitalan untuk memudahkan pelanggan kami melakukan perbankan dan mengurus operasi,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Tambahnya, pembiayaan kasar meningkat 5.1 peratus dari awal tahun sehingga kini kepada RM40.5 bilion, disokong terutamanya oleh pembiayaan pengguna dan komersialnya.
Perbankan pengguna, yang menyumbang 72 peratus daripada jumlah portfolio pembiayaan kasar, berkembang sebanyak 5.3 peratus, diterajui oleh pembiayaan hartanah dan diikuti oleh pembiayaan peribadi (PF-i).
Peningkatan dalam PF-i didorong terutamanya oleh pembiayaan Ihsan-i berjumlah RM1.1 bilion.
Dalam perbankan komersial, yang menyumbang 11.0 peratus daripada jumlah portfolio, pembiayaan kasar meningkat 26.6 peratus terutamanya didorong oleh sektor perdagangan borong dan runcit, pembuatan dan pertanian utama.
Dengan pengambilalihan MIDF oleh Kumpulan baru-baru ini, MBSB mempunyai jangkauan yang lebih luas dan pelbagai tawaran baharu daripada perbankan pengguna, perbankan komersial dan PKS kepada perniagaan perbankan korporat dan pelaburan.
Nisbah Pembiayaan Terjejas Kasar (GIFR) meningkat sedikit kepada 6.71 peratus.
Sejumlah RM76 juta pembiayaan Ihsan-i mengalami kemerosotan sejak mula dilancarkan pada April 2023. Selanjutnya penambahbaikan boleh dilihat dalam GIFR sekiranya pembiayaan Ihsan-i tidak terjejas, menurunkan GIFR kepada 6.52 peratus. – UTUSAN










