SME Corp, MTDC bawa PMKS terokai pasaran eksport

SME Corp, MTDC bawa PMKS terokai pasaran eksport

RIZAL Nainy (dua, kiri) bersama Mohammad Hazani (dua, kanan) ketika sesi pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara SME Corporation Malaysia dan Malaysian Technology Development Corporation di Yayasan Tun Razak, Kuala Lumpur.-UTUSAN/SYAKIR RADIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR: SME Corporation Malaysia (SME Corp) dan Perbadanan Pembangunan Teknologi Malaysia (MTDC) optimis dapat membantu negara mencapai sasaran sumbangan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 41 peratus menjelang 2025.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp, Rizal Nainy berkata, perkara tersebut mampu dicapai melalui penerokaan pasaran eksport menerusi inisiatif dan rangka kerja berterusan yang dilaksanakan kedua-dua pihak.

Katanya, program ‘Transforming SMEs into Exporters’ (TSMEX) oleh SME Corp dan MTDC yang akan diperkenalkan tidak lama lagi akan menyokong lebih banyak PMKS tempatan mengembangkan perniagaan ke luar negara melalui eksport.

Jelasnya, inisiatif TSMEX itu akan membolehkan PMKS mendapat latihan, bimbingan serta manfaat daripada pengetahuan, kepakaran dan pengalaman MTDC dalam teknologi.

“Jadi untuk permulaan, kerjasama itu akan memberi bimbingan kepada antara 30 hingga 60 syarikat PMKS yang berkelayakan menembusi pasaran luar negara. Melalui SME Corp iaitu Program PKS Lestari, kami sudah mempunyai sebanyak 300 syarikat berpotensi untuk mengembangkan perniagaan ke peringkat antarabangsa.

“Oleh itu, melalui kerjasama dengan MTDC, kami menyasarkan 10 hingga 20 peratus daripada 300 PMKS diberi bimbingan untuk memberi nilai tambah kepada sumbangan eksport negara.

“Jika kita lihat PMKS yang mengeksport sekarang nilainya hanya 10.5 peratus kepada KDNK dalam RM144 bilion dan mengikut tinjauan kami pada awal tahun, hanya 15 peratus daripada keseluruhan PMKS yang mengeksport, kebanyakannya daripada sektor pembuatan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara MTDC dan SME Corp di sini, semalam.

Yang turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif MTDC, Mohammad Hazani Hassan.

Rizal berkata, perkongsian strategik itu juga menandakan satu langkah penting kerana perkongsian strategik itu bertujuan memanfaatkan kekuatan kedua-dua pihak untuk mewujudkan rangkaian usahawan yang mampu mengakses kepada teknologi.

“Kami melihat program ini juga dapat membantu PMKS mengharungi cabaran, mengembangkan jangkauan pasaran mereka melalui eksport dan tidak hanya menjadi ‘jaguh’ dalam pasaran domestik,” katanya.

Kriteria pemilihan PKS untuk menyertai program TSMEX adalah syarikat yang sudah beroperasi lebih enam bulan, berdaftar di bawah Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM), mempunyai sekurang-kurangnya 60 peratus pemilikan ekuiti Malaysia dan mempunyai perolehan jualan tahunan minimum RM300,000.

Program tersebut akan bermula pada Januari 2024 dengan peserta terpilih, diikuti dengan sesi latihan dan dijangka berakhir pada September 2024.-UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN