PETALING JAYA: Perusahaan Otomobil Kedua Sdn. Bhd. (Perodua) menjalankan penilaian terperinci berkaitan dengan pengumuman Daihatsu Motor Co Ltd (DMC) mengenai penggantungan model-modelnya disebabkan oleh ‘ketidakaturan prosedur’.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Perodua, Datuk Seri Zainal Abidin Ahmad berkata, pihaknya juga sedang dalam perbincangan bersama pihak berkuasa Malaysia tentang kesan perkembangan ini terhadap kenderaan keluarannya.
“Kami memohon maaf kepada para pelanggan yang kami hargai serta orang awam di atas keresahan yang timbul daripada pengumuman ini. Niat kami adalah untuk memberi jaminan kepada para pelanggan yang kami hargai.
“Kami akan berkongsi hasil perbincangan ini dengan semua pelanggan kami dalam masa terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini semalam.
Pada 28 April lalu, DMC telah mengumumkan berlakunya ‘ketidakaturan prosedur’ semasa menjalankan ujian keselamatan ke atas kenderaan di Jepun.
Berikutan pengumuman itu, DMC telah menubuhkan jawatankuasa audit bebas yang terdiri daripada peguam dan tenaga kerja teknikal.
Semalam, subsidiari Toyota Motor Corporation, Daihatsu Motor Co Ltd telah menangguh sementara penghantaran semua model yang sedang dalam pengeluaran di Jepun dan di luar negara berikutan penemuan isu keselamatan.
Kumpulan itu berkata, Daihatsu telah mentauliahkan siasatan kepada jawatankuasa pihak ketiga bebas berhubung isu prosedur dan mendapati masalah pada 174 item dalam 25 kategori ujian, di samping ketidakteraturan lapisan pintu pada April termasuk semasa ujian pelanggaran sisi pada Mei lepas.
Pengeluar kereta itu melalui satu kenyataan pada Rabu berkata, ini merangkumi sejumlah 64 model serta tiga enjin kenderaan daripada keseluruhan model yang sedang dihasilkan, dibangunkan atau dihentikan pengeluaran termasuk 22 model dan satu enjin yang dijual oleh Toyota.
Rangkaian model yang terjejas meliputi yang dijual di bawah jenama Daihatsu dan yang dibekalkan secara pengeluar peralatan asal (OEM) kepada Toyota, Mazda dan Subaru.
Senarai model tersebut termasuk beberapa kereta Perodua iaitu Axia generasi pertama, Axia generasi kedua, Aruz, Alza generasi kedua, Ativa, Myvi dan Bezza.
Model Toyota yang disenaraikan berkaitan dengan pasaran kami ialah Rush, Vios dan Veloz. – UTUSAN










