GENEVA: Perdagangan global dijangka menguncup sebanyak 5 peratus pada 2023 berbanding tahun lepas, kata badan perdagangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dengan ramalan pesimis keseluruhan untuk 2024.
Memetik laporan Reuters, dalam kemas kini perdagangan globalnya, Persidangan Perdagangan dan Pembangunan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNCTAD) mengunjurkan bahawa perdagangan tahun ini akan berjumlah kira-kira AS$30.7 trilion (RM143.71 trilion).
Menurutnya, perdagangan sektor barangan dijangka menguncup hampir AS$2 trilion pada 2023, atau 8 peratus, namun perdagangan industri perkhidmatan akan meningkat kira-kira AS$500 bilion atau 7 peratus.
UNCTAD mengaitkan penguncupan dalam perdagangan global sebahagiannya disebabkan oleh prestasi eksport yang kurang baik dari negara membangun.
“Perdagangan global telah mengalami penurunan sepanjang 2023, terutamanya dipengaruhi oleh permintaan yang berkurangan di negara maju, prestasi rendah dalam ekonomi Asia Timur, dan penurunan harga komoditi.
“Faktor-faktor ini secara kolektif menyumbang kepada penguncupan ketara dalam perdagangan barangan,” katanya.
UNCTAD berkata, ramalan untuk perdagangan global pada 2024 kekal “sangat tidak menentu dan secara amnya pesimis.”
“Walaupun penunjuk ekonomi tertentu membayangkan potensi peningkatan, ketegangan geopolitik yang berterusan, tahap hutang yang tinggi dan kerapuhan ekonomi yang meluas dijangka memberi pengaruh negatif ke atas corak perdagangan global,” katanya. – AGENSI










