Membina rumah sendiri mungkin dianggap biasa pada waktu ini kerana ada yang mula berhijrah ke kampung halaman mahu pun mengambil keputusan untuk bersara awal.
Namun, sejauh mana kos bagi membina rumah secara sendiri itu dapat mengurangkan beban kepada anda?
Adakah membina rumah sendiri ini berbaloi atau tidak berbanding membeli sebuah rumah baharu, subsale atau rumah lelong?
Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Mohd. Faisol Ibrahim ada berkongsi panduan bagi mereka yang berminat membina rumah sendiri.
1 Perlu pastikan tanah yang ingin dibina rumah mempunyai geran individu dan ‘bukan master title’.
Boleh membuat carian di pejabat tanah daerah bagi mendapatkan salinan geran dan no lot tanah. Melalui kaedah ini kita dapat mengesahkan kedudukan dan status tanah tersebut. Ini bagi mengelak daripada ditipu dan juga konflik-konflik yang mungkin berlaku di kemudian hari.
2 Elak membeli tanah yang mempunyai status lot lidi kerana lot lidi risiko adalah tinggi dan tidak ada jaminan.
Ini kerana kebiasaanya lot tanah lidi ini dijual dalam keluasan yang kecil dan murah serta hanya mempunyai nama tuan tanah asal dan nama pembeli baru masih tiada nama dalam geran asal sedangkan bayaran perlu diberikan kepada pemilik asal tanah manakala proses untuk memasukkan nama ke dalam lot lidi mengambil masa.
Sekiranya tuan tanah meninggal sebelum proses penukaran nama kepada penama baru berlaku, maka tanah tadi telah menjadi tanah faraid anak si mati sedangkan pembeli tidak mempunyai hak. Ini akan mewujudkan konflik dan memerlukan masa untuk penyelesaian.
3 Pastikan tanah yang ingin dibina rumah bukan berstatus pertanian.
Sekiranya tanah berstatus pertanian, maka status ini perlu dimohon untuk ditukar kepada rumah
4 Perlu pastikan tanah yang ingin dibina mempunyai infra.
Sekiranya tanah yang ingin dibina tidak mempunyai kemudahan infra, maka kos pembinaanya akan meningkat dan proses pembinaan rumah akan menjadi terlewat.
5 Melantik juru ukur bertauliah untuk mengukur dengan tepat keluasan tanah sebelum proses pembinaan rumah dilakukan.
Ini supaya mengelak berlaku mengambil tanah hak orang lain walaupun seinci dan mengelak berlaku konflik.
6 Anda perlu melantik kontraktor yang bertauliah dan mempunyai pengalaman dalam membina rumah.
Justeru, pemilihan kontraktor perlu dibuat secara berhati-hati dengan sekurang-kurangnya melakukan tiga perbezaan profil syarikat kontraktor dan juga sebut harga.
Ini membantu dalam membuat keputusan yang tepat agar projem membina rumah sendiri tidak tergendala dan berisiko tidak siap.
7 Melantik arkitek yang berpengalaman dan bertauliah.
Supaya gambaran rumah impian dapat diterjemahkan dalam bentuk dokumen dan atau 3D sebelum proses pembinaan dilakukan.
8 Bakal pemilik perlu melakukan pemantauan berkala progress pembinaan rumah dari peringkat awal sehingga akhir supaya kualiti pembinaan dapat dipelihara dan mengikut perancangan asal.
9 Bayaran kepada kontraktor di bayar secara berperingkat mengikut kadar peratusan progress pembinaan rumah dan bukan dibayar sekaligus atau separuh dahulu daripada keseluruhan kos.
10 Membeli bahan mentah sendiri dan mengupah kontraktor untuk membina rumah adalah kos menjadi lebih murah berbanding melantik kontraktor untuk menguruskan segalanya.
11 Pastikan rumah yang dibina tidak mengancam dan mengganggu kesejahteraan rumah jiran sebelah. – UTUSAN










