OCBC Bank perluas pilihan untuk peniaga mikro

OCBC Bank perluas pilihan untuk peniaga mikro

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: OCBC Bank (Malaysia) Berhad (OCBC Bank) bekerjasama dengan MOBY Group (MOBY) bagi membolehkan peniaga kecil dan mikro yang memiliki gerai atau kios memperluaskan kaedah penerimaan bayaran selain daripada QR Pay dan tunai.

Melalui kemudahan itu, peniaga boleh menerima pembayaran kad kredit dan debit menerusi telefon mudah alih dengan penyelesaian SmartPay.

Pengarah Urusan dan Ketua Perkhidmatan Kewangan Pengguna OCBC Bank, Anne Leh berkata, kerjasama akan mencetuskan perubahan besar dan menggabungkan kepakaran bank dengan syarikat teknologi kewangan, sekali gus membawa revolusi dalam cara perkhidmatan kewangan disediakan kepada perniagaan mikro.

“Kami ingin menyediakan perkhidmatan inklusif (terangkum) untuk menyokong perniagaan mikro yang kurang mendapat perhatian dan sukacita berganding bahu dengan MOBY untuk menawarkan pilihan dalam ekosistem pembayaran digital yang selamat.

“Ini adalah sebahagian daripada matlamat induk kami untuk menyediakan perkhidmatan yang lebih mudah dan pantas kepada peniaga kami.

“Kami melihat peluang besar pada masa depan menerusi kerjasama dengan peserta teknologi kewangan seperti MOBY dan berharap terus menjalin hubungan seperti ini dalam usaha berterusan bagi menyediakan penyelesaian pembayaran yang lebih cekap dan lancar,” katanya dalam kenyataan.

Di samping itu, peniaga kecil dan mikro yang mendaftar dengan MOBY akan ditawarkan pelbagai pilihan pembayaran daripada penerimaan kad debit, kredit dalam talian dan luar talian kepada kemudahan Buy Now Pay Later (BNPL) atau Beli Sekarang Bayar Kemudian dengan kedua-dua pilihan konvensional dan patuh syariah.

Jelas Anne, aplikasi berfungsi sebagaimana transaksi tanpa sentuhan menggunakan terminal kad kredit Electronic Data Capture (EDC) atau Rakaman Data Elektronik yang lazim dengan membolehkan pelaksanaan urus niaga yang cekap dan lancar.

Dalam pada itu, Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif MOBY, Rian Philip berkata, pihaknya melihat aplikasi pembayaran tambah nilai baharu sebagai permulaan bagi produk bersiri serba maju yang dibina bukan sahaja untuk membantu peniaga kecil dan mikro menerima bayaran tetapi juga menambah baik cara transaksi kewangan dikendalikan oleh peniaga dan pengguna.

Katanya, MOBY teruja untuk berganding bahu dengan OCBC Bank yang merupakan sebahagian daripada kumpulan perbankan terbesar di Asia Tenggara, bagi memenuhi permintaan dan menambah baik ekosistem pembayaran.

“Dengan memperkenalkan produk inovatif seperti SmartPay, kami membawakan tahap kemudahan, kecekapan dan kepantasan yang tiada tandingan kepada perniagaan dan juga individu,” katanya.

Sempena pelancaran itu, MOBY dan OCBC Bank akan memberikan ganjaran kepada pengguna awal dalam bentuk diskaun sehingga 50 peratus atas Kadar Diskaun Peniaga (MDR) bagi 100 peniaga pertama yang mendaftar sebelum 31 Disember 2023.  – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×