PETALING JAYA: MTD Properties optimis terhadap potensi pasaran hartanah negara pada tahun depan, terutama di Lembah Klang.
Menurut Pengurus Besar MDT Properties, Daniel Yeap, Syarikat sentiasa menjalankan kajian pasaran dengan teliti termasuk kajian kebolehlaksanaan sebelum merancang atau melancarkan sesuatu projek.
Jelasnya, lokasi dan kesesuaian masa tetap menjadi faktor utama dalam rancangan pembangunan bank tanah Syarikat yang terdapat di Melaka dan Seremban, Negeri Sembilan.
“Setakat ini, MTD Properties telah mencatat peningkatan sebanyak 20 peratus permintaan pada tahun ini berbanding 2022, dengan anggaran kadar peningkatan tahunan sebanyak 10 hingga 15 peratus pada 2024,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, konsep perumahan lestari yang semakin popular dalam kalangan pembeli dan penggiat industri hartanah, telah mempengaruhi penawaran syarikat perumahan yang terpaksa menilai semula setiap aspek pembangunan sesuatu projek bagi memenuhi kriteraia-kriterai pembangunan lestari, terutama bagi projek perumahan.
Namun begitu, katanya, permintaan projek lestari bagi sektor komersial atau perkilangan sebaliknya mengiktiraf kelebihan kelestarian itu yang dapat mempengaruhi pengurangan kos, peningkatan reputasi dan keuntungan serta meningkatkan tahap kesetiaan pelanggan.
“Akibatnya, kebolehpasaran pembangunan mampan semakin meningkat.
“Pelbagai rangka kerja dan kaedah dapat digunakan bagi mengukur tahap kemampanan sesuatu projek perumahan. Kaedah kerja seperti LEED, BREEAM, dan Skim Tanda Hijau, menilai faktor-faktor seperti kecekapan penggunaan tenaga, pemuliharaan air, pengurusan sisa dan kualiti udara dalaman,” jelas beliau.
Yeap berkata, MTD Properties amat mendokong usaha mengetengahkan pembangunan mampan melalui pelbagai inisiatif demi mengurangkan kesan alam sekitar dan membangunkan konsep perbandaran lestari yang menggabungkan elemen–elemen seperti ruang hijau, kawasan kejiranan yang mesra pejalan kaki dan guna bercampur dan amalan bangunan mampan.
“Sebagai sebuah syarikat yang terkenal dengan rekabentuk rumah yang luas, MTD Properties kini merancang untuk mempertingkatkan penawaran projek kejiranan lestari terutamanya di Lembah Kelang yang bakal memberi manfaat kepada alam sekitar dan perniagaan, menarik minat lebih ramai pembeli dan penyewa, mengurangkan kos operasi disamping meningkatkan reputasi syarikat sebagai salah satu permaju hartanah hijau di Malaysia,” katanya. – UTUSAN









