SHAH ALAM: Kumpulan Hartanah Selangor Berhad (KHSB), syarikat pembangunan hartanah di bawah Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) (MBI), bersedia menjadi pemain penting dalam sektor pembangunan hartanah khususnya bagi pembangunan Rumah Mampu Milik di Selangor.
Ia menerusi dua kolaborasi bersama dua syarikat hartanah tersenarai di Bursa Kuala Lumpur untuk membangunkan tanah milik KHSB di ‘The Atera’ Petaling Jaya, melibatkan 2,091 unit pangsapuri perkhidmatan dan pembangunan rumah teres di Bernam Jaya dengan lebih 2,300 unit.
Ketua Pegawai Eksekutif KHSB, Rahana Abdullah berkata, kedua-dua projek mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) berjumlah RM1.5 bilion.
“Melangkah ke tahun 2024, KHSB dalam usaha untuk memperkukuhkan lagi kedudukan kewangan syarikat. KHSB telah memperolehi sebidang tanah di Bukit Cherakah yang dibangunkan sendiri oleh KHSB.
“Selaras dengan itu, ini adalah masa yang tepat untuk membina imej baharu yang lebih segar dan membawa KHSB ke arah yang lebih dinamik,” katanya pada Majlis Pelancaran Penjenamaan Identiti korporat KHSB di sini, semalam.
Majlis disempurnakan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.
Dalam pada itu, Amiruddin berkata, inisiatif penjenamaan semula KHSB menjadi salah satu daripada kesinambungan pembangunan ekonomi seperti yang direncanakan dalam Rancangan Selangor Pertama (RS-1).
Beliau berharap, KHSB dapat menjulang nama Selangor sebagai peneraju kediaman rumah mampu milik yang menerapkan ciri-ciri kelestarian alam sekitar demi manfaat lebih 7 juta rakyat Selangor.
“Ini bagi merealisasikan hasrat pentadbiran ini untuk membangunkan sebanyak 200,000 unit rumah mampu milik seperti yang saya gariskan dalam 5 Tekad, 5 Tahun pada Julai lalu dan saya inginkan supaya KHSB dapat memainkan peranan dalam mewujudkan lebih banyak unit rumah-rumah mampu milik,” katanya.
Di samping itu, beliau menjelaskan, KHSB juga mempunyai tanggungjawab untuk mengukuhkan pengurusan yang mampan dari segi kewangan serta kelangsungan supaya dapat bersaing dengan peneraju-peneraju pasaran dalam industri perumahan dan hartanah. – UTUSAN











