PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan jumlah perdagangan bernilai RM231.8 bilion pada November 2023 dengan nilai eksport sebanyak RM122.1 bilion dan import bernilai RM109.7 bilion, menurut laporan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Ketua Perangkawan, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, prestasi eksport Malaysia pada November 2023 bernilai RM122.1 bilion, menurun sebanyak RM7.6 bilion atau 5.9 peratus berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.
Jelasnya, penurunan eksport dipengaruhi oleh eksport yang lebih rendah di kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (-RM5.4 bilion), Selangor (-RM2.4 bilion), Sarawak (-RM1.6 bilion), Terengganu (-RM869.1 juta), Melaka (-RM755.1 juta), Wilayah Persekutuan (WP) Labuan (-RM704.8 juta), Pahang (-RM308.0 juta), Negeri Sembilan (-RM164.2 juta), Perlis (-RM29.9 juta) dan WP Kuala Lumpur (-RM 9.9 juta).
“Walau bagaimanapun, nilai eksport meningkat di Johor sebanyak RM3.0 bilion, Kedah (+RM929.2 juta), Perak (+RM540.8 juta), Sabah (+RM472.3 juta) dan Kelantan (+RM18.6 juta),” katanya dalam laporan Import Mengikut Negeri November 2023, semalam.
Mohd. Uzir berkata, Pulau Pinang kekal pengeksport utama dengan sumbangan 29.0 peratus, diikuti Johor (22.6 peratus), Selangor (16.9 peratus), Sarawak (8.3 peratus) dan WP Kuala Lumpur (5.7 peratus).
Mengenai prestasi import mengikut negeri, beliau berkata, import pada November 2023 meningkat RM1.8 bilion (+1.7 peratus) berbanding bulan yang sama pada 2022.
Peningkatan import disebabkan oleh import yang lebih tinggi di kebanyakan negeri iaitu WP Kuala Lumpur (+RM2.7 bilion), Negeri Sembilan (+RM1.4 bilion), Pahang (+RM1.1 bilion), Sabah (+RM514.3 juta), Selangor (+RM492.7 juta), Johor (+RM197.1 juta), Melaka (+RM114.4 juta) dan Terengganu (+RM109.4 juta).
Walau bagaimanapun kata beliau, nilai import jatuh di Pulau Pinang sebanyak RM3.9 bilion, WP Labuan (-RM280.2 juta), Kedah (-RM78.8 juta), Sarawak (-RM60.9 juta), Kelantan (-RM43.0 juta), Perak (-RM15.9 juta) dan Perlis (-RM6.2 juta).
“Selangor terus mendominasi import Malaysia dengan sumbangan 26.5 peratus, diikuti Johor (20.6 peratus), Pulau Pinang (20.4 peratus), W.P. Kuala Lumpur (9.4 peratus) dan Kedah (5.6 peratus),” katanya. – UTUSAN










