PETALING JAYA: Ejen hartanah meramalkan harga dan sewa kediaman akan meningkat hampir 10 peratus pada tahun depan, menurut Tinjauan dan Indeks Harta IQI – Malaysia S4 2023, yang dikeluarkan semalam.
Menurut tinjauan tersebut, ejen-ejen hartanah meramalkan harga kediaman akan meningkat 9.95 peratus manakala sewa kediaman akan naik 9.57 peratus dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Malah di Selangor dan Kuala Lumpur, pemain industri menjangkakan harga kediaman akan meningkat sebanyak 9.7 peratus manakala sewa kediaman naik 9.9 peratus.
“Ejen mungkin mengesyorkan beli kerana mereka menjangkakan peningkatan ketara dalam harga jualan dan sewa pada 2024. Keyakinan ini mungkin berdasarkan trend ekonomi, aliran masuk pelaburan, penambahbaikan infrastruktur dan dinamik permintaan serta bekalan,” kata Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpuan Juwai IQI, Kashif Ansari dalam kenyataan.
Beliau berkata, tinjauan dijalankan antara 1 hingga 22 November lalu melibatkan 203 ejen dan perunding hartanah di seluruh negara, kecuali Perlis.
Kata beliau, berdasarkan tinjauan itu, hanya lima peratus daripada responden menjangkakan harga akan jatuh, manakala hanya tiga peratus meramalkan sewa kediaman turun.
Tambahnya, nisbah beli-sewa turut mendedahkan keyakinan kukuh dalam pasaran hartanah, dengan 91.1 peratus responden mengatakan mereka akan menasihati rakan untuk beli hari ini, manakala hanya 8.9 peratus respoden menasihati sewa.
Angka itu katanya, hampir sama untuk kediaman di Kuala Lumpur dan Selangor dengan 88.8 peratus untuk beli berbanding 11.2 peratus untuk sewa.
“Jangkaan meluas bahawa harga dan sewa akan meningkat menandakan potensi modal dan pertumbuhan hasil sewa. Ia boleh menggalakkan pelabur dan penyewa untuk kembali ke pasaran dan membawa kepada pelancaran projek baharu.
“Jadi, kami menjangkakan untuk melihat lebih banyak permintaan pada 2024, didorong oleh trend demografi Malaysia, perbandaran, pertumbuhan ekonomi dan perubahan dalam kemampuan perumahan,” katanya.
Kashif berkata, kebanyakan peningkatan dalam volum urus niaga adalah untuk hartanah berharga sederhana dan mampu milik dengan data Pusat Maklumat Harta Tanah Negara (NAPIC) menunjukkan 51 peratus adalah untuk pembelian bernilai antara RM100,000 hingga RM500,000.
Beliau berkata, apabila ia melibatkan prospek ekonomi, penyelidikan mendedahkan faktor bercampur-campur tetapi secara umumnya mempunyai pandangan yang positif.
“Ejen dalam panel penyelidikan kami sentiasa memerhatikan faktor ekonomi yang lebih luas dan gangguan global yang berpotensi menjejaskan pertumbuhan perdagangan Malaysia.
“Lebih separuh (56 peratus) responden menjangkakan ekonomi lebih teguh dalam tempoh 12 bulan akan datang, manakala hanya satu pertiga (33.5 peratus) menjangkakan ekonomi akan melemah. Pandangan yang paling umum ialah ekonomi akan menjadi “Agak kuat” (35 peratus), diikuti “Agak lemah” (25 peratus).
“Unjuran terbaharu Bank Dunia, yang dikeluarkan pada Oktober, menyokong pandangan yang positif. Bank Dunia mengunjurkan pertumbuhan KDNK pada 4.3 peratus pada 2024, meningkat daripada 3.9 peratus pada 2023,” katanya. – UTUSAN











