Dividen ASB 2023 dijangka 5 hingga 6 peratus – Penganalisis

Dividen ASB 2023 dijangka 5 hingga 6 peratus – Penganalisis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kadar dividen Amanah Saham Bumiputera (ASB)  tahun ini dijangka lebih tinggi sehingga enam peratus berbanding 4.6 peratus yang diagihkan tahun lalu, kata penganalisis.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Penganalisis Ekonomi UniKL Business School, Prof. Madya Dr. Aimi Zulhazmi Abdul Rashid berkata, pihaknya mengunjurkan kadar dividen dan juga bonus ASB ada berada sekitar lima hingga enam peratus bagi 2023.

Katanya, ini berdasarkan prestasi ekonomi semasa dan kadar inflasi yang menurun sekitar dua hingga tiga peratus yang memberikan pulangan bersih antara dua ke tiga peratus lebih baik dari simpanan tetap di institusi kewangan.

“Walau bagaimanapun, (agihan dividen) masih belum mencapai pulangan seperti dahulu iaitu tujuh peratus atau lebih.

“Faktor Bursa Malaysia pula yang masih lagi suram iaitu indeks FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) yang pernah melebihi 1500 mata pada awal Januari 2022, masih lagi berada di bawah 1,500 mata sehingga kini.

“Mungkin pelaburan Permodalan Nasional Berhad (PNB) di luar negara memberikan pulangan yang lebih baik terutamanya di pasaran modal Amerika Syarikat (AS),” katanya di sini semalam.

Aimi Zulhazmi berkata, pelaburan ASB adalah untuk tempoh jangka masa sederhana dan panjang, jadi pelabur tidak boleh bergantung kepada pelaburan tersebut untuk jangka masa pendek.

“Diharapkan ada pulanganyang  besar dari pelaburan ASB tetapi pulangan yang memadai berdasarkan pada senario ekonomi semasa,” ujarnya.

Tahun lalu, Amanah Saham Nasional Berhad (ASNB) mengumumkan agihan pendapatan 3.35 sen seunit dan bonus 1.25 sen seunit kepada pemegang unit ASB bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2022.

Selain itu, ASNB turut mengumumkan bonus tambahan sebanyak 0.50 sen seunit untuk 30,000 unit pertama yang dipegang oleh setiap pemegang unit.

Jumlah keseluruhan pengagihan pendapatan sebanyak RM8.9 bilion ini memanfaatkan 10.6 juta pemegang unit ASB. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN