Citaglobal, Masdar. TRe bina projek solar AS$2 bilion di Pahang

Citaglobal, Masdar dan TRe bina projek solar AS$2 bilion di Pahang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Citaglobal Bhd. telah menerima kenyataan minat daripada TNB Renewables Sdn. Bhd. (TRe), anak syarikat milik penuh Tenaga Nasional Bhd. (TNB), untuk turut serta dalam pembangunan projek tenaga boleh diperbaharui (RE) di Malaysia.

Kawasan potensi kerjasama antara TNB dan Citaglobal termasuklah ‘Project 2GW,’ sebuah projek ladang solar bernilai AS$2 bilion (RM9.75 bilion) dengan kapasiti 2 gigawatt (2GW) di Pahang.

Citaglobal dalam kenyataan berkata, Konsortium 60:40 untuk Project 2GW, terdiri daripada Masdar, Citaglobal dan TIZA Global, telah dirasmikan melalui perjanjian pembangunan bersama (JDA) pada 1 Disember 2023.

Jelasnya, JDA tersebut telah ditandatangani semasa persidangan `United Nations (UN) Climate Change Conference of the Parties (COP28)’ dengan pertukaran dokumen JDA disaksikan oleh Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Presiden UAE, Sheikh Mohamed Zayed Al Nahyan.

Selepas JDA ini, pada 2 Disember 2023, Citaglobal dan Masdar telah menandatangani memorandum persefahaman (MoU) bersama TRe bagi kerjasama strategik dalam bidang projek tenaga boleh diperbaharui, termasuklah Projek 2GW.

Satu majlis telah diadakan untuk pemeteraian MoU itu dengan acara pertukaran dokumen antara Pengerusi TNB, Datuk Abdul Razak Abdul Majid; Pengerusi Eksekutif dan Presiden Citaglobal, Tan Sri Dr. Mohamad Norza Zakaria, dan Ketua Pembangunan dan Pelaburan Masdar (Malaysia, Asia Tengah, dan Afrika), Abdulla Zayed.

“Project 2GW melibatkan cadangan pembangunan sebuah projek RE dengan kapasiti sebanyak 2GW di negeri Pahang.

“Projek ini akan menyaksikan pembinaan panel solar (PV) yang dipasang atas tanah, ladang solar terapung dan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS) merentasi pelbagai tapak yang bersesuaian di tanah, empangan dan tasik di Pahang. Projek 2GW akan dibangunkan dalam beberapa fasa di beberapa tapak di Pahang, dalam tempoh lima tahun,” katanya.

Katanya, Citaglobal telah mendapat sokongan penuh daripada Kerajaan Negeri Pahang untuk membangun dan melaksanakan projek RE di negeri itu, khususnya untuk kelulusan tanah.

Mohamad Norza dalam pada itu berkata, kehadiran TRe, yang merupakan sebahagian daripada syarikat utiliti nasional TNB, adalah satu kemenangan besar.

“Kami berbesar hati untuk bekerjasama dengan mereka. Kepakaran luas TRe dalam infrastruktur, perancangan tapak, pengurusan aset dan penilaian akan membawa nilai yang signifikan kepada Project 2GW di sepanjang kitaran hayatnya.

“Kehadiran rakan kongsi stabil dan ternama seperti TRe dan Masdar akan mengukuhkan sumber kami dari segi kewangan, infrastruktur dan perkongsian inovasi.

“Kerjasama ini juga akan membantu dalam menjamin bekalan, menjadikan tenaga boleh diperbaharui sebagai pilihan yang lebih berdaya maju untuk menggantikan bahan api fosil. Semua pihak berada di halaman yang sama dalam bekerjasama untuk mencapai sasaran sifar bersih dan mempercepatkan rentak peralihan tenaga global. Kami berhasrat untuk merasmikan penyertaan TRe dalam perjanjian JDA secepat mungkin,” katanya.

Abdul Razak pula berkata, Syarikat menantikan kerjasama dengan Citaglobal dan Masdar untuk Projek Ladang Solar itu.

“Ekonomi yang kukuh dan sumber tenaga boleh diperbaharui telah menjadikan Malaysia sebagai hab pelaburan utama. Dengan kerjasama yang semakin kukuh, kami komited untuk memajukan RE, seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×