Centurion jual aset kepada KWAP dengan nilai RM227j

Centurion jual aset kepada KWAP dengan nilai RM227j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Centurion Corporation Limited (Centurion), syarikat tersenarai di Singapura, menjual dua aset penginapan di Malaysia kepada Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) (KWAP) dengan jumlah RM227 juta di bawah perjanjian pajakan balik.

Dua aset itu ialah Westlite Dormitory (Bukit Minyak) Sdn. Bhd. di Pulau Pinang dan Westlite Dormitory (Tampoi) Sdn. Bhd. di Johor.

Syarikat itu dalam kenya­taan berkata, di bawah terma perjanjian jual beli, kedua-dua harta­nah akan diambil alih oleh KWAP dengan pertimbangan sebanyak RM227.0 juta (kira-kira S$65.2 juta).

Centurion melalui anak syarikatnya, kemudian akan memajak balik hartanah berkenaan untuk tempoh 15 tahun selepas perjanjian selesai.

“Penjualan hartanah adalah sebahagian daripada rasiona­lisasi strategik berterusan Kumpulan terhadap portfolio asetnya, untuk mengitar semula dan menggunakan semula mo­dal untuk mengembangkan lagi portfolio aset di bawah pengurusannya.

“Jualan dan pajakan balik hartanah juga sejajar dengan strategi Kumpulan, untuk mengembangkan perniagaannya,” kata syarikat itu dalam kenyataan.

Westlite Bukit Minyak ialah Binaan Tujuan Penginapan Pekerja (PBWA) di atas tanah pegangan bebas di Pulau Pinang, terdiri daripada tiga blok penginapan dengan jumlah katil sebanyak 3,321 katil.

Westlite Tampoi pula ialah sebuah PBWA juga terletak di atas tanah pegangan bebas, terdiri daripada enam blok penginapan dengan jumlah katil sebanyak 5,790 katil.

Ketua Pegawai Eksekutif Centurion, Kong Chee Min berkata, penjualan membuka peluang Kumpulan untuk membuka kunci nilai, memacu peningkatan portfolio selanjutnya.

Pada masa yang sama, ia membolehkan Kumpulan untuk terus melabur dalam keperluan yang semakin meningkat untuk penginapan pekerja berkualiti di Malaysia.

“Kami gembira dapat be­kerjasama dengan dana pencen sektor awam Malaysia, urus niaga ini mengesahkan rekod prestasi positif Centurion di Malaysia, dan kami kekal komited untuk menyokong majikan dan industri Malaysia dengan PBWA berkualiti tinggi untuk ke­sejahteraan pekerja asing mereka,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN