PETALING JAYA: AEON Credit Service (M) Berhad (AEON Credit) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) sebanyak RM85.5 juta bagi suku ketiga tahun kewangan 2024 berakhir 30 November 2023, berbanding RM83.63 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
Menurut AEON Credit, prestasi itu dipacu oleh pertumbuhan pinjaman dan pembiayaan yang lebih kukuh dengan peningkatan 17.8 peratus dalam jumlah transaksi dan volum pembiayaan kepada RM1.82 bilion berbanding RM1.55 bilion sebelumnya.
Pada suku sama, Syarikat melaporkan pertumbuhan hasil sebanyak 16.4 peratus kepada RM486.51 juta, daripada RM417.84 juta tahun sebelumnya.
Bagi sembilan bulan pertama pula, keuntungan sebelum cukai (PBT) Syarikat jatuh sebanyak 3.5 peratus kepada RM402.58 juta daripada RM417.17 juta tempoh yang sama tahun sebelumnya.
“Ia disebabkan oleh peningkatan kerugian rosot nilai ke atas penghutang kewangan sebanyak RM455.93 juta, terutamanya disebabkan oleh pembalikan peruntukan am yang lebih tinggi ditambah dengan penghutang pembiayaan yang lebih rendah direkodkan dalam tahun kewangan 2023,” katanya dalam kenyataan itu.
Sementara itu, jumlah urus niaga dan pembiayaan AEON Credit meningkat 17.2 peratus kepada RM5.4 bilion daripada RM4.6 bilion yang dicatatkan dalam sembilan bulan pertama 2023.
Nisbah pinjaman tidak berbayar (NPL) pula berada pada 2.73 peratus pada 30 November 2023.
Mengulas mengenai prospek, AEON Credit berkata, Kumpulan kekal berwaspada melalui pemantauan secara proaktif terhadap kualiti aset, menguruskan risiko kredit secara berhemat dalam portfolio pembiayaan dan kos operasi untuk baki tahun fiskal.
Katanya, ia seiring dengan pendekatan yang seimbang dalam pertumbuhan hasil.
“Dalam mengejar kemampanan pertumbuhan jangka panjang Kumpulan dan komitmen teguhnya dalam menyampaikan nilai kepada pemegang saham dan pemegang kepentingan, Kumpulan akan kekal teguh dalam strategiknya.
“Ini dengan menceburi perniagaan yang berdaya tahan melalui inisiatif pendigitalan berterusan dalam operasi dan proses untuk meningkatkan kecekapan, produktiviti dan meningkatkan pengalaman pelanggan,” katanya. – UTUSAN










