PETALING JAYA: Hong Leong Capital Berhad (HLCB) mencatatkan untung bersih selepas cukai sebanyak RM22.7 juta bagi suku pertama tahun kewangan 2024 berakhir 30 September 2023, peningkatan 41.8 peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan tersebut didorong terutamanya oleh prestasi yang lebih baik dalam pelaburan proprietari HLCB dan sumbangan keuntungan yang lebih tinggi daripada anak syarikat operasi utamanya, Hong Leong Investment Bank Berhad (HLIB), dalam tempoh kewangan semasa.
Pada 30 September 2023, nilai buku sesaham menurun kepada RM3.99 daripada RM4.09 pada 30 Jun 2023 selepas pengisytiharan dividen akhir satu peringkat sebanyak 17 sen bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2023.
Pengerusinya, Tan Kong Khoon berkata, HLCB memulakan tahun kewangan baharu dengan keputusan positif, mencatatkan keuntungan sebelum cukai (PBT) yang lebih baik sebanyak RM27.4 juta, peningkatan 31.7 peratus berbanding RM20.8 juta tahun ke tahun.
Katanya, keputusan yang lebih baik ini didorong terutamanya oleh bahagian pembrokeran saham, menyumbang 65 peratus daripada PBT.
“Ini didorong oleh volum dagangan Bursa Malaysia yang lebih tinggi tahun ke tahun kerana terdapat minat pelabur yang diperbaharui berikutan berakhirnya pilihan raya negeri dan pelancaran Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan pelan ekonomi Madani,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Memandang ke hadapan, Kong Khoon berkata, prospek pasaran modal dan aktiviti pelaburan di Malaysia dijangka kekal tidak menentu walaupun terdapat unjuran pengembangan sederhana dalam ekonomi.
“Ini didorong oleh permintaan luar yang lebih lemah, keadaan kredit yang ketat dan ketegangan geopolitik di Timur Tengah.
“Memandangkan persekitaran perniagaan kami kekal terdedah kepada keadaan dan halangan luaran ini, kami akan terus berwaspada terhadap risiko ini dengan sentiasa mengamalkan disiplin dalam menguruskan modal, kecairan dan kecekapan kos untuk memberikan hasil yang mampan kepada pihak berkepentingan kami,” ujarnya. – UTUSAN










