Untung bersih 3Q PCG susut 31 peratus kepada RM439 juta

Untung bersih 3Q PCG susut 31 peratus kepada RM439j

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Chemicals Group Berhad (PCG) mencatatkan keuntungan selepas cukai (PAT) lebih rendah sebanyak 31 peratus kepada RM439 juta pada suku ketiga (3Q 2023) daripada RM633 juta pada suku sebelumnya.

Penurunan untung bersih disebabkan oleh keuntungan pertukaran mata wang asing tidak direalisasi yang lebih rendah dan perbelanjaan cukai yang lebih tinggi.

Pendapatan Kumpulan pada suku berkenaan turut turun lima peratus kepada RM6.8 bilion daripada RM7.1 bilion suku kedua 2023, disebabkan jumlah jualan yang lebih rendah dan harga purata produk yang lebih rendah.

“Perolehan Sebelum Faedah, Pencukaian, Susut Nilai dan Pelunasan (EBITDA) dan margin EBITDA yang dicatatkan pada RM1.0 bilion (2Q 2023: RM1.1 bilion) dan 15 peratus (2Q 2023: 15 peratus), adalah setara dengan suku sebelumnya.

“Kadar penggunaan loji adalah pada 77 peratus (2Q 2023: 82 peratus) disebabkan penutupan loji yang tidak dirancang serta kerja-kerja pemulihan dan penyelenggaraan loji berkala,” katanya dalam kenyataan.

MOHD. YUSRI MOHAMED YUSOF

Mengulas keputusan tersebut, Pengarah Urusan/Ketua Pegawai Eksekutif PCG, Ir. Mohd. Yusri Mohamed Yusof berkata, pada 3Q 2023, Kumpulan telah menjalankan pemulihan loji berkala di loji Ammonia di Kerteh dan penutupan berkala di loji baja di Bintulu.

Selain itu katanya, PCG mengalami penutupan yang tidak dirancang di loji Metanol di Labuan serta loji-loji Methyl tert-butyl ether (MTBE) dan Propane dehydrogenation (PDH) di Gebeng.

“Aktiviti-aktiviti ini telahpun diselesaikan dan kini Kumpulan beroperasi pada kadar biasa dengan penggunaan melebihi 85 peratus. Bagi bahagian pasaran, peningkatan permintaan yang beransur pulih dapat dilihat dalam beberapa segmen bahan kimia, tetapi margin keseluruhan masih rendah,” katanya.

Menurut Mohd. Yusri, peningkatan sementara dalam harga produk kimia tertentu telah kembali mendatar menjelang akhir tahun.

Malah katanya, keperlahanan bermusim dijangka untuk segmen olefin dan derivatif selaras dengan kebanyakan pembeli yang menunaikan kontrak berpenggal masing-masing.

Beliau memberitahu, segmen baja berpotensi mendapat sokongan daripada penghantaran tender urea India yang dijangkakan pada Disember, sempena dengan musim tanaman iklim sejuk di Asia Selatan.

“Segmen bahan kimia khusus terus mengalami tekanan daripada ketidaktentuan makroekonomi yang berterusan, di samping pemulihan beransur dalam sektor automotif dan pengangkutan lantaran peningkatan semula industri pelancongan,” tambahnya.

Tambah beliau, pada Oktober, Kumpulan telah memperoleh pencapaian yang penting dalam Agenda Ekonomi Plastik Baharu PCG selaras dengan keputusan pelaburan terakhir syarikat untuk membina loji kitar semula kimia termaju di Pengerang, Johor.

Dijangka beroperasi pada 2026, loji tersebut akan menukarkan plastik akhir hayat kepada minyak pirolisis yang boleh digunakan sebagai stok suapan dalam penghasilan plastik lestari.

“Kami berbesar hati dapat memainkan peranan dalam menggerakkan Pelan Hala Tuju Kelestarian Plastik Malaysia 2021-2030, dan seterusnya menyumbang ke arah mewujudkan ekosistem yang menggalakkan ekonomi sirkular untuk plastik,” kata beliau.

PCG merupakan pengeluar bahan kimia bersepadu terulung di Malaysia dan antara yang terbesar di Asia Tenggara. Ia mengendalikan beberapa tapak pengeluaran bertaraf dunia di Malaysia, Asia Pasifik, Eropah dan Amerika Utara.

Dengan jumlah kapasiti pengeluaran gabungan sebanyak 15.4 juta tan metrik setahun (mtpa), aktiviti perniagaan utama PCG melibatkan pengeluaran, pemasaran dan penjualan beraneka produk kimia, termasuk olefin, polimer, baja, metanol serta bahan kimia dan produk derivatif asas yang lain.

Disenaraikan di Bursa Malaysia dengan lebih daripada tiga dekad pengalaman dalam industri bahan kimia, PCG telah ditubuhkan sebagai sebahagian daripada Kumpulan Petronas untuk memaksimumkan nilai daripada sumber gas asli Malaysia. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×