PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus memperkukuh komitmennya untuk mempercepat peralihan ke tenaga mampan menerusi kerjasama dengan Huawei Malaysia dan Kumpulan RHB.
Memorandum Persefahaman (MoU) pertama bersama Huawei Malaysia bertujuan membuka potensi solusi tenaga hijau manakala MoU kedua bersama Kumpulan Perbankan RHB bagi mempercepat penggunaan tenaga boleh baharu (RE) dan penyelesaian cekap tenaga (EE) dalam kalangan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) serta individu melalui solusi kewangan hijau.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, kerjasama itu selaras dengan matlamat strategik yang dinyatakan dalam Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR).
Ujarnya, melalui inisiatif-inisiatif ini, TNB tidak hanya membayangkan masa depan mampan tetapi juga secara aktif membinanya.
“Digitalisasi adalah kunci utama bagi peralihan tenaga. Kerjasama dengan Huawei akan mempercepat agenda peralihan tenaga TNB dengan memanfaatkan transformasi digital dan meraih peluang baharu dalam solusi tenaga hijau.
“Ia menyediakan platform bagi TNB untuk memodenkan infrastruktur teknologi maklumat (IT) dan telekomunikasinya dengan memberi tumpuan kepada kelestarian, kecekapan tenaga dan teknologi komunikasi canggih,” katanya dalam kenyataan.
MoU bersama Huawei telah ditukar secara rasmi semasa Persidangan Peralihan Tenaga 2023 yang dianjurkan Ogos lalu.

Mengulas kerjasama bersama Kumpulan Perbankan RHB, beliau berkata, TNB berhasrat untuk menawarkan perkhidmatan nasihat teknikal mengenai kecekapan tenaga dan solusi tenaga boleh baharu, termasuk membekalkan dan memasang sistem Solar Photovoltaic (PV) kepada PKS yang tertumpu kepada pelanggan RHB dan rakan niaga TNB.
“Kerjasama ini memberi penyelesaian kepada kos pendahuluan yang menjadi halangan utama kepada PKS dan pemilik rumah yang ingin menikmati fasiliti solar atas bumbung dan solusi EE.
“Melalui kerjasama ini, TNB akan menyediakan kepakaran teknikal dan membekalkan sistem Solar PV, manakala RHB akan menawarkan Solusi Kewangan Hijau,” ujarnya.
Dalam bulan akan datang, TNB dan Bank RHB akan mengadakan sesi pertemuan bersama pengusaha PKS di bandar-bandar utama di seluruh negara, bermula November 2023.
Sesi-sesi ini akan berfungsi sebagai platform bagi TNB untuk memperkenalkan teknologi dan solusi cekap tenaga serta sumber tenaga boleh baharu, manakala Bank RHB akan berkongsi pelbagai produk solusi kewangan hijau yang dapat menyokong PKS dalam usaha mereka ke arah amalan perniagaan mampan. – UTUSAN










