TNB siap siaga bentuk kerjasama segerakan peralihan tenaga

TNB siap siaga bentuk kerjasama segerakan peralihan tenaga

BAHARIN Din berucap di persidangan ENLIT ASIA 2023.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) terus mengukuhkan komitmen dalam menerajui inisiatif pembangunan mampan di ASEAN dan bersiap siaga membentuk kerjasama dengan kerajaan, pelabur dan pemegang taruh utama untuk menyegerakan peralihan tenaga (ET) yang bertanggungjawab di samping menangani trilema tenaga.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Seri Ir. Baharin Din berkata, terdapat keperluan ET yang bertanggungjawab bagi menangani peningkatan permintaan elektrik yang mana TNB bersedia untuk memenuhinya sambil mengurangkan pelepasan karbon.

Katanya, di rantau ASEAN, matlamatnya adalah untuk menyalurkan 3,000 GigaWatt (GW) tenaga bersih.

“Ketika ini, ASEAN telah memiliki 95GW bahan bakar termal dan 188GW tenaga boleh baharu (TBB). Menjelang 2050, rantau ini mensasarkan pencapaian lebih daripada 2,700GW TBB.

“Polisi, teknologi hijau dan pembiayaan adalah pemboleh utama bagi kejayaan ET. Pelaburan besar diperlukan untuk mencapai matlamat Sifar Bersih ASEAN menjelang 2050.” katanya dalam kenyataan sempena persidangan ENLIT ASIA 2023 baru-baru ini.

Beliau optimis berlakunya perubahan landskap dengan kerajaan giat membuat dasar yang menyokong pertumbuhan bisnes rendah karbon.

Jelanya, Pelan Peralihan Tenaga Negara (NETR) Malaysia memberi tumpuan kepada TBB, kecekapan tenaga (EE), hidrogen, bio tenaga, mobiliti hijau dan pemerangkapan karbon.

Baharin berkata, Malaysia memainkan peranan penting dalam melaksanakan objektif kolektif ET di rantau ini dan negara ini sedang memperkasakan infrastruktur penghantaran bagi mengukuhkan kerjasama serantau dan menyokong sambung tara sistem tenaga merentasi sempadan melalui Grid Tenaga ASEAN (APG).

“Pada masa ini, kami boleh menyokong tambahan 12GW melalui loji solar baharu dan penyimpanan bateri di titik nod tertentu dalam infrastruktur domestik kami, selain daripada 4GW TBB sedia ada.

“Kami secara proaktif sedang mengenal pasti lebih banyak titik nod demi mencapai matlamat nasional 70 peratus kapasiti TBB menjelang 2050 dan memenuhi permintaan tenaga negara jiran apabila diperlukan,” ujarnya.

Sehingga kini, TNB telah menandatangani 29 Memorandum Persefahaman (MoU) dengan organisasi tempatan dan antarabangsa dalam pelbagai bidang ET seperti taman solar, integrasi hidrogen dan ammonia dalam loji tenaga, sambung tara dan kenderaan elektrik.

“TNB percaya bahawa pendekatan secara kolaboratif dengan sokongan dasar, kemajuan teknologi dan pembiayaan yang mencukupi, adalah penentu kejayaan ET di samping menangani trilema tenaga,” tambahnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN