Tenaga hidrogen dijual 15 sen pada lima tahun lagi

Tenaga hidrogen dijual 15 sen pada lima tahun lagi

CHANG Lih Kang (kiri) memandu kereta litar yang menggunakan kuasa hidrogen bersama Rezal Khairi Ahmad pada pelancaran penjana hidrogen NanoMalaysia (HyPEReactor) di Aylezo Speedway, Shah Alam, Selangor, hari ini. - UTUSAN / SADDAM YUSOFF
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SHAH ALAM: Hidrogen akan menjadi komoditi tenaga baharu negara yang mampu dimiliki pada harga 15 sen setiap kilowatt (kW) per jam dalam tempoh lima tahun lagi.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, ini berbeza dengan kos penghasilan tenaga bahan api secara tradisional ketika ini yang mencecah antara 60 hingga 80 sen perjam kW.

Menurutnya, ini membuktikan potensi hidrogen sebagai bahan api  alternatif berdasarkan permintaan dan merupakan pendekatan baharu bagi penyelesaian tenaga lebih cekap.

“Ini adalah selaras dengan Pelan Hala Tuju Teknologi dan Ekonomi Hidrogen (HTER) dengan kementerian berhasrat untuk menerajui dalam perkembangan ekonomi hidrogen sehingga tahun 2050.

“Sekaligus menunjukkan komitmen kita kepada penambahbaikan alam sekitar, pengurangan pelepasan karbon serta peningkatan peralihan tenaga untuk industri lebih mampan,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan Penjana Hidrogen NanoMalaysia atau HyPEReactor, di sini hari ini.

Pada majlis tersebut, beliau turut menguji sendiri penggunaan hidrogen sebagai bahan api pada kereta litar sambil ditemani Ketua Pegawai Eksekutif NanoMalaysia Berhad, Dr. Rezal Khairi Ahmad di Alyezo Speedway.

Lih Kang menambah HTER dijangka membantu negara meneroka pasaran hidrogen hijau global bernilai sekurang-kurangnya 189.19 bilion USD (RM824 bilion) menjelang 2050.

Daripada jumlah itu, 43 peratus atau 81,12 bilion USD daripada nilai pasaran kawasan Asia Pasifik diikuti ASEAN sebanyak 25.81 bilion USD atau 13 peratus seterusnya Malaysia pada nilai 3.1 bilion USD (dua peratus).

“Kerjasama sedang dijalankan dengan pihak swasta dan universiti dalam merancakkan lagi gerak kerja berkaitannya,” ujarnya.

Sementara itu, Rezal Khairi menjelaskan matlamat utama pihaknya adalah menembusi pelbagai industri dengan menguasai 10 peratus bahagian pasaran besar menjelang 2030.

“Di peringkat global, reaktor hidrogen mempunyai kegunaan termasuk menghasilkan bahan api untuk kenderaan dan pesawat jarak jauh.

“Berbanding dengan kenderaan elektrik berkuasa bateri biasa, kenderaan bahan api hidrogen NanoMalaysia menawarkan jarak pemanduan lebih jauh dengan mempamerkan ketumpatan tenaga serta selang masa lebih lama sebelum pengisian semula,” jelasnya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×