PETALING JAYA: Smart Malaysia mengumumkan harga rasmi kenderaan elektrik serba baharunya, smart #1, bermula dari RM189,000 untuk model Pro, manakala Premium berharga RM219,000 dan BRABUS (RM249,000).
Keluaran kenderaan pertama syarikat itu telah dilancarkan oleh Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz dalam satu majlis yang turut dihadiri Pengerusi Proton, Tan Sri Syed Faisal Albar; Ketua Pegawai Eksekutif Global smart Automobile, Tong Xiangbei dan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong.
Turut hadir Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Roslan Abdullah, dan Ketua Pegawai Eksekutif PRO-NET, Zhang Qiang.
Dengan slogan #TAKETHEsmartWAY, bersedialah untuk terpikat dengan ciri pintar model smart #1 Pro, Premium dan BRABUS, masing-masing dengan ciri tersendiri, membuka jalan untuk pengalaman premium dan masa depan pemanduan berprestasi tinggi.
Menurut kenyataan syarikat itu, PRO-NET, pengedar eksklusif smart #1 di Malaysia dan Thailand, telah mengukuhkan sokongannya terhadap pelan hala tuju Proton EV dengan memperolehi pandangan yang bernilai dan mewujudkan ekosistem bersepadu dengan lancar.
Ia merangkumi rangkaian pengedar, perkhidmatan selepas jualan, aplikasi digital ‘Hello smart’ yang mesra pengguna, dan pengurusan bateri voltan tinggi di Malaysia yang mempamerkan kesediaan syarikat untuk revolusi mobiliti elektrik.
“Kami komited untuk membentuk semula landskap mobiliti serba-elektrik premium di negara ini. Dedikasi kami ialah untuk membentuk
semula keyakinan pengguna melalui perkhidmatan selepas jualan yang luar biasa, termasuk ketersediaan alat ganti, peta pengecasan awam bersepadu dan ekosistem digital yang lancar.
“Kami percaya bahawa kunci kejayaan adalah dengan mengutamakan keperluan dan keinginan pelanggan di atas setiap produk dan perkhidmatan yang kami tawarkan. Hari ini, kami meraikan peminat smart dan tidak sabar untuk mengembangkan kehadiran smart #1 di jalan raya Malaysia dan memberikan
pengalaman mobiliti bandar serba elektrik yang tersendiri, premium dan pintar. Dengan visi kami yang bercita-cita tinggi, kami berhasrat untuk merevolusikan industri EV automotif,” kata Zhang dalam kenyataan.

smart #1 menampilkan 10 kombinasi warna, termasuk Future Green, Quantum Blue, Digital White, Cyber Silver, Lumen Yellow, Laser Red, Atom Grey – Matte (Bumbung Atom), Atom Grey – Matte (Bumbung Merah), Cyber Silver (Bumbung Merah) dan Meta Black (Bumbung Merah).
Selain itu, terdapat tiga variasi gaya dalaman khusus, trim `After Dark’ untuk smart #1 Pro, trim `Dark Matter’ dua tona putih dan hitam untuk smart #1 Premium, dan dalaman `BRABUS’ eksklusif untuk smart #1 BRABUS.
Smart Malaysia memperkenalkan Pemilikan Premium All-Inclusive bertujuan untuk menyampaikan perjalanan yang komprehensif dan bebas kebimbangan untuk pelanggan. Tawaran utama termasuk:
* Jaminan Bateri bervoltan tinggi selama 8 tahun atau 200,000km
* Jaminan komponen bervoltan tinggi selama 8-tahun atau 150,000km
* Jaminan kenderaan selama 4-tahun tanpa had perjalanan
* Jaminan alat ganti selama 2-tahun tanpa had perjalanan
* Bantuan Perkhidmatan Jalanan 24/7
* Pengecas AC smartCharge percuma berharga RM3,200 1 dengan jaminan 2-tahun 2
* Kabel V2L percuma berharga RM800 dengan jaminan 2-tahun
* Pakej aksesori percuma bernilai RM2,000
* 5-tahun Data Internet percuma dengan jumlah 60GB
* Perlindungan Insuran smartPlus yang komprehensif
Harga atas jalan (tanpa insurans) smart #1 Pro, Premium dan BRABUS – dengan Cukai Jualan dan Perkhidmatan ialah :
smart #1 BRABUS RM249,000
smart #1 Premium RM219,000
smart #1 Pro RM189,000
Pemilik boleh memilih warna eksklusif Atom Grey – Matte dengan tambahan RM5,000. – UTUSAN










