Saham Supermax jatuh 7.77 peratus

Saham Supermax jatuh 7.77 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Saham Supermax Corp. Bhd. jatuh 7.77 peratus pada sesi pagi ini, selepas pembuat sarung tangan itu mencatatkan kerugian bersih RM2.05 juta pada suku pertama berakhir 30 September 2023 (1QTK2024).

Kerugian itu adalah bagi suku keempat berturut-turut didorong oleh penyusutan hasil di tengah-tengah permintaan yang lebih lemah dan harga jualan lebih rendah yang berterusan. Kerugian suku tahunannya bagaimanapun mengecil daripada tiga suku sebelumnya.

Ketika berita ini ditulis, Supermax rugi lapan sen kepada 95 sen, dengan 15.14 juta saham didagangkan.

Pembuat sarung tangan itu merekodkan kerugian selepas cukai sebanyak RM108.07 juta pada suku kedua 2023 (2QTK2023), RM39.91 juta pada 3QTK2023, dan RM7.17 juta pada 4QTK2023.

Hasil suku tahunan Supermax turun 28.2 peratus kepada RM177.96 juta daripada RM247.96 juta pada 1QTK2023.

Kenanga Research menurunkan taraf Supermax kepada “kurang prestasi” pada RM1.03 dengan harga sasaran (TP) tidak berubah sebanyak 85 sen, dan berkata, keputusan 1QTK2024 syarikat itu memenuhi jangkaan.

Dalam satu nota, firma penyelidikan itu berkata, Supermax melaporkan kerugian bersih kecil sebanyak RM2.1 juta tetapi akan bertukar menguntungkan pada suku akan datang dengan kos input yang lebih rendah.

“Walau bagaimanapun, prospek sektor ini kekal suram disebabkan oleh lebihan kapasiti yang besar.

“Kami mengekalkan ramalan dan TP kami sebanyak RM0.85 tetapi menurunkan taraf panggilan kepada ‘berprestasi rendah’, daripada ‘prestasi pasaran’, selepas kenaikan harga sahamnya baru-baru ini,” katanya. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×