PETALING JAYA: Saham Pharmaniaga Bhd. jatuh pada awal dagangan semalam, selepas kumpulan farmaseutikal itu mencadangkan pelan penyusunan semula terdiri daripada langkah pengurangan modal, terbitan hak boleh tolak saham baharu serta penempatan persendirian untuk mengumpul sehingga RM654.61 juta bagi mengurangkan hutang.
Pada pukul 11.30 pagi, saham Pharmaniaga turun 9.88 peratus atau empat sen kepada 36.5 sen, dengan 4.01 juta saham diniagakan.
Kumpulan itu melaporkan kerugian bersih RM49.34 juta bagi suku ketiga berakhir 30 Sept 2023 (3QTK2023), lebih dua kali ganda daripada kerugian bersih suku tahunan RM13.99 juta yang dicatatnya setahun sebelumnya.
Kerugian bersih yang lebih besar adalah disebabkan peruntukan sekali sahaja sebanyak RM65.2 juta untuk stok usang daripada inventori bahan tamat tempoh berkaitan pandemik, seperti peralatan perlindungan diri dan jarum.
Pharmaniaga merekodkan hasil suku tahunan lebih rendah pada RM885.49 juta, berbanding RM894.94 juta tahun lepas, terutamanya disebabkan oleh jualan yang lebih rendah dalam perniagaan bukan konsesi, berpunca daripada kehilangan tender untuk produk kanser darah.
Kenanga Research dalam nota kajian berkata, keputusan kewangan Pharmaniaga bagi sembilan bulan terkumpul berakhir 30 September 2023 (9BTK2023) mengecewakan dengan mencatatkan kerugian bersih RM45 juta atas hapus kira inventori.
“Kami kini meramalkan kerugian bersih sebanyak RM41 juta untuk TK2023 (daripada keuntungan sebelumnya), tetapi mengekalkan harga sasaran pada 31 sen dan panggilan ‘kurang prestasi’,” katanya.
Firma penyelidikan itu berkata, ia kekal berhati-hati terhadap Pharmaniaga kerana pertama, ekuiti pemegang saham negatifnya sebanyak RM264 juta pada 30 September 2023 menghalang keupayaannya untuk memberikan dividen; kedua, kerajaan mencari kontrak nilai untuk wang yang lebih baik, dan Pharmaniaga mungkin perlu menawarkan kadar baharu yang lebih berdaya saing.
Sementara itu, Hong Leong Investment Bank (HLIB) dalam nota kajian berkata, pelan penyusunan semula itu dijangka membawa kepada pencairan besar bagi pemegang saham sedia ada.
HLIB telah menghentikan liputan Pharmaniaga kerana pengagihan semula sumbernya. – UTUSAN










