RUU pemerangkapan, penggunaan, penyimpanan karbon

RUU pemerangkapan, penggunaan, penyimpanan karbon dibentang tahun depan

RAFIZI RAMLI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Kementerian Ekonomi menyasarkan untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) dalam tempoh antara 12 hingga 15 bulan akan datang.

Menterinya, Rafizi Ramli berkata, kerajaan mengiktiraf aktiviti CCUS sebagai salah satu strategi baharu pertumbuhan hijau dan rendah karbon di negara ini dengan menyediakan insentif yang menarik kepada pelabur.

Menurut beliau, CCUS juga telah dikenal pasti sebagai salah satu daripada empat bidang pertumbuhan baharu di bawah Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP) bagi mencapai aspirasi pelepasan gas rumah kaca bersih sifar seawal tahun 2050 (Net-zero 2050).

“Oleh kerana ia satu industri yang baharu, maka perlu rangka kerja dari segi undang-undang, peraturan dan piawaian yang perlu dibangunkan serta-merta.

“Kalau kita ambil masa tiga hingga empat tahun baru boleh buat (undang-undang), orang (pelabur) akan lari ke tempat lain. Saya fikir walaupun ia sukar, kita akan dapat (laksanakan), diharap kita dapat menjadi negara pertama di rantau ini yang mempunyai undang-undang CCUS yang lengkap.

“Saya fikir tak ada negara di rantau ini yang sudah ada undang-undang CCUS, oleh itu lagi cepat kita laksanakan, lagi cepat kita akan menjadi pilihan kepada pelabur antarabangsa,” katanya menerusi sidang media selepas persidangan pertama CCUS Malaysia 2023 di sini hari ini.

Penganjuran persidangan itu bertujuan mengumpul input dan maklum balas daripada pelbagai pihak berkepentingan bagi membantu mengenal pasti teknologi, membangunkan mekanisme kawal selia serta kaedah pelaksanaan CCUS yang sesuai di Malaysia.

Mengulas lanjut, Rafizi berkata, bagi merangsang industri CCUS, satu ekosistem yang komprehensif akan diwujudkan di mana inisiatif ini akan dipacu oleh unit penyelarasan yang ditubuhkan di bawah Kementerian Ekonomi yang berperanan untuk memacu perancangan, pelaksanaan dan pemantauan industri berkenaan.

Kata beliau, pada peringkat awal, unit tersebut akan mengenal pasti mekanisme kawal selia yang optimum merangkumi antara lainnya aspek-aspek dasar, perundangan, alam sekitar, kewangan, perdagangan, keselamatan dan penerimaan awam.

“Unit ini juga berperanan menyediakan pelan pembangunan industri, mekanisme kewangan dan pelan pengurusan risiko yang menyeluruh, selaras dengan keperluan industri serta amalan terbaik antarabangsa,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau berkata, selain memiliki kapasiti penyimpanan karbon yang substantif, lokasi yang strategik, rangkaian perhubungan yang baik serta ekosistem perniagaan yang kondusif menjadikan Malaysia di antara negara yang kompetitif sebagai hub CCUS di rantau ini.

Jelasnya, Pelan Peralihan Tenaga Kebangsaan (NETR) yang dilancarkan pada Julai 2023 mengiktiraf CCUS sebagai salah satu bidang tumpuan dan pemangkin inisiatif peralihan tenaga yang membuka peluang ekonomi dan mengurangkan jejak karbon secara mampan.

“NETR menetapkan sasaran untuk membangunkan tiga hab CCUS menjelang tahun 2030 dengan kapasiti penyimpanan sehingga 15 juta metrik tan setahun dan menjelang tahun 2050, kapasiti penyimpanan akan bertambah kepada 40 hingga 80 juta metrik tan setahun.

“Dari perspektif ekonomi, CCUS berpotensi menjadi sumber baharu pertumbuhan ekonomi negara serta menjana pelaburan asing bernilai tinggi. Industri CCUS diunjur dapat menyumbang kepada nilai ditambah kasar (GVA) sebanyak USD200 hingga USD250 bilion secara kumulatif dalam tempoh 30 tahun.

“Selain itu, CCUS juga berupaya mewujudkan sehingga 200,000 peluang pekerjaan baharu serta membangunkan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam bidang yang berkaitan,” katanya.

CCUS akan digunakan untuk memerangkap dan menyimpan kekal karbon dioksida (CO2) daripada punca-punca pelepasan CO2 yang utama khususnya bagi ‘hard to abate industries’.

Teknologi berkenaan merupakan di antara kaedah mitigasi penting dalam mengurangkan pelepasan CO2 dan dapat membantu negara mencapai objektif Perjanjian Paris. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×