Ringgit meningkat kepada RM3.44 berbanding dolar Singapura

Ringgit meningkat kepada RM3.44 berbanding dolar Singapura

- GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Ringgit dibuka lebih tinggi sedikit berbanding dolar AS pada pagi ini disebabkan pasaran terus menilai sama ada Rizab Persekutuan (Fed) akan mengubah pendirian mengenai kadar faedah, susulan laporan pasaran pekerjaan terkini minggu lalu, kata penganalisis.

Memetik laporan Bernama, pada pukul 9.08 pagi, ringgit telah meningkat kepada 4.6640/6690 berbanding dolar AS, daripada penutup semalam pada 4.6675/6725.

Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid berkata, pasaran nampaknya menilai semula keadaan ekonomi selepas `euforia’ gaji bukan ladang minggu lepas.

“Pelabur menilai pendirian `hawkish’ pegawai Fed, Neel Kashkari bahawa AS telah membuktikan daya tahannya, walaupun terdapat peningkatan mendadak dalam kadar faedah, (namun) bahawa masih ada lagi kerja yang perlu dilakukan untuk mengekalkan kadar inflasi yang lebih rendah,” katanya.

Beliau berkata, indeks dolar AS terus disokong dengan baik pada 105.542 mata, walaupun hasil Perbendaharaan 10 tahun AS jatuh sembilan mata asas untuk ditutup pada 4.58 peratus semalam.

Untuk itu, beliau menjangkakan kadar pertukaran dolar-ringgit AS akan kekal stabil di sekitar paras semasa.

Sementara itu, ringgit diniagakan lebih tinggi berbanding sekumpulan mata wang utama, tetapi tidak berubah berbanding euro pada 4.9863/9916.

Ia meningkat berbanding yen Jepun kepada 3.0986/1021 daripada 3.1026/1061 pada penutup semalam, dan meningkat berbanding pound Britain kepada 5.7307/7368 daripada 5.7415/7476.

Dalam pada itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.

Ia meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.4426/4465 daripada 3.4444/4483 dan meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 298.2/298.7 daripada 298.4/298.9 sebelumnya.

Bagaimanapun, ringgit turun berbanding baht Thailand kepada 13.1391/1595 daripada 13.1154/1346 semalam. Ia tidak berubah berbanding peso Filipina pada 8.31/8.33. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN