PETALING JAYA: Ringgit dibuka tinggi sedikit berbanding dolar AS pagi ini, didorong oleh permintaan sederhana untuk mata wang tempatan apabila data menunjukkan prospek kenaikan kadar faedah AS.
Pada pukul 9.21 pagi ini, ringgit meningkat kepada 4.6760/6810 berbanding dolar AS daripada penutup Jumaat, 4.6785/6825, memetik laporan Bernama.
Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd. Afzanizam Abdul Rashid menjangkakan ringgit berkemungkinan menunjukkan prestasi yang lebih baik pada hari ini, apabila data dari AS minggu lepas menunjukkan Rizab Persekutuan (Fed) mungkin melaksanakan dasar monetari yang lebih akomodatif pada masa hadapan.
“Ringgit mungkin bergerak ke arah paras sokongan segera pada RM4.6611 berbanding dolar AS,” katanya.
Semenatra itu, AmBank Research berkata, ringgit telah mengukuh sedikit berikutan pengumuman Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku ketiga pada Jumaat lalu.
Bank Negara Malaysia (BNM) mengumumkan ekonomi negara berkembang sebanyak 3.3 peratus pada suku ketiga daripada 2.9 peratus suku kedua, disokong oleh permintaan domestik yang berdaya tahan.
Dalam pada itu, ringgit didagangkan lebih rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia susut berbanding euro kepada 5.1006/1060 daripada penutup Jumaat 5.0771/0814, susut berbanding pound kepada 5.8282/8344 daripada 5.8056/8105. Ringgit jatuh berbanding yen Jepun kepada 3.1273/1309 daripada 3.1267/1296 sebelumnya.
Nota tempatan juga dibuka rendah berbanding kebanyakan mata wang ASEAN lain.
Ia meningkat berbanding rupiah Indonesia kepada 301.8/302.2 daripada 301.9/302.3 tetapi susut berbanding dolar Singapura kepada 3.4823/4863 daripada 3.4769/4801 pada Jumaat.
Ringgit juga lemah berbanding baht Thailand kepada 13.3402/3609 daripada 13.3298/3481 dan jatuh berbanding peso Filipina kepada 8.43/8.44 daripada 8.40/8.41. – UTUSAN










