PETALING JAYA: Ringgit didagangkan hampir `mendatar’ pada pembukaan pagi ini berbanding dolar AS berikutan kekurangan minat belian baharu di tengah-tengah turun naik yang rendah akibat cuti Kesyukuran di AS.
Pada pukul 9.05 pagi, ringgit berada pada 4.6785/6855 berbanding dolar AS berbanding 4.6775/6830 pada penutup semalam.
Memetik laporan Bernama, Ketua Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd., Dr. Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, ringgit dijangka kekal stabil berbanding dolar AS pada sekitar RM4.68 tanpa kehadiran petunjuk daripada AS berikutan cuti Kesyukuran.
Beliau berkata, tumpuan hari ini kepada indeks harga pengguna (CPI) Malaysia, yang dijangka pada 1.9 peratus pada Oktober berdasarkan konsensus.
“Jika ia menjadi kenyataan, ini akan menjadi tahap yang tidak berubah, menunjukkan bahawa kadar inflasi telah stabil.
“Pada skor itu, Kadar Dasar Semalaman (OPR) berkemungkinan kekal stabil dalam tempoh terdekat memandangkan kadar faedah sebenar telah menjadi positif, menunjukkan dasar monetari tidak terlalu akomodatif,” katanya.
Pada awal dagangan, ringgit lebih kukuh berbanding sekumpulan mata wang utama.
Ia mengukuh berbanding euro pada 5.1038/1114 daripada 5.1092/1152 semalam, menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.1294/1343 daripada 3.1342/1381 dan meningkat berbanding pound sterling kepada 5.8678/8766 daripada 5.8740/8809.
Sementara itu, mata wang tempatan itu diniagakan bercampur-campur berbanding mata wang ASEAN lain.
Ia bertambah baik berbanding dolar Singapura kepada 3.4917/4972 daripada 3.4922/4969 dan lebih tinggi berbanding baht Thailand pada 13.2475/2726 daripada 13.2601/2813.
Bagaimanapun, mata wang tempatan turun berbanding peso Filipina pada 8.45/8.47 daripada 8.44/8.46 sebelumnya dan tidak berubah berbanding rupiah Indonesia pada 300.7/301.4 daripada 300.6/301.2. – UTUSAN










