RHB sedia peruntukan lebih banyak untuk kewangan mampan 

RHB sedia peruntukan lebih banyak untuk perkhidmatan kewangan mampan 

MOHD. RASHID MOHAMAD (dua dari kiri) dan Megat Jalaluddin Megat Hassan (tiga dari kiri) dalam perjanjian kerjasama antara RHB dan Tenaga Nasional hari ini. - UTUSAN/ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: RHB Bank Berhad (RHB Bank) merancang peruntukan yang lebih tinggi bagi perkhidmatan kewangan mampan selepas sasarannya menggerakkan RM20 bilion bagi perkhidmatan terbabit menjelang 2026 telah mencapai sasaran 99 peratus.

Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan RHB Banking Group., Mohd. Rashid Mohamad berkata, bagi komitmen semasa yang dilaksanakan pada 2022, akan mencapai 100 peratus menjelang hujung tahun ini dan kini dalam peringkat penilaian sasaran seterusnya selepas 2024.

“Secara dalaman, kami telah berbincang. Kami akan berkongsi dengan orang ramai apa sasaran kami yang seterusnya menjelang tahun depan,” katanya kepada pemberita selepas Majlis perjanjian kerjasama antara RHB dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) di sini hari ini.

Jelas beliau, komitmen itu direalisasikan melalui Program Pembiayaan Lestari (SFP) RHB, yang menawarkan rangkaian perkhidmatan kewangan mampan untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang melabur dalam penyelesaian hijau dan cekap tenaga.

“Kami menyedari keperluan dan cabaran tersendiri PKS, kami terus melibatkan mereka untuk memberikan sokongan nasihat, menggalakkan kesedaran dan pemahaman untuk mengurus kelestarian dan risiko iklim,” katanya.

Tambah beliau, RHB dan TNB akan memperluaskan sesi penglibatan di seluruh negara dengan PKS untuk mendapat manfaat daripada kepakaran teknikal TNB dalam kecekapan tenaga dan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui, serta mengakses penyelesaian pembiayaan hijau RHB.

Dalam pada itu,  Ketua Pegawai Operasi TNB,  Datuk Megat Jalaluddin Megat Hassan berkata, pihaknya  juga telah menyusun pelan hala tuju kejayaan yang disesuaikan khusus untuk PKS.

“Kami menawarkan satu set penyelesaian hijau yang direka untuk memenuhi keperluan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG) dan peluang penjimatan kos untuk melonjakkan perniagaan ke arah kejayaan mampan masa depan,” katanya.

Pada 28 Ogos lalu, RHB dan TNB telah menjalinkan perjanjian kerjasama di Persidangan Peralihan Tenaga 2023 untuk secara kolektif menyokong dan mempromosikan amalan perniagaan mampan kepada PKS dan untuk memberi kesedaran bagaimana ESG dan keperluan kemampanan boleh memberi kesan kepada daya maju perniagaan.

Antara penyelesaian yang diketengahkan ialah penyelesaian atas bumbung solar GSPARX dan produk kecekapan tenaga oleh TNBES, TNBX, dan pengecas kenderaan elektrik oleh Chargepoint, rakan kongsi suis Tenaga, dan skim pembiayaan hijau dan pakej insurans RHB.

Pada majlis tersebut, sesi penglibatan oleh RHB dan TNB turut dihadiri lebih 200 PKS bertujuan membimbing serta memperkasakan PKS.

“Melalui sesi ini, peserta memperoleh pengetahuan teknikal mengenai teknologi dan penyelesaian cekap tenaga serta produk dan perkhidmatan yang boleh membantu mengurangkan penggunaan tenaga dan kos.

“RHB juga berkongsi pelbagai penyelesaian pembiayaan yang tersedia untuk PKS dan pelanggan runcit yang ingin melabur dalam kecekapan tenaga dan amalan mampan.

“Sesi penglibatan ini menekankan komitmen RHB untuk memupuk dan menyokong PKS dalam mengemudi kerumitan dan peningkatan kepentingan amalan mampan. Ketika negara kita bergerak ke arah amalan yang lebih hijau, PKS berada di barisan hadapan dalam peralihan dan objektif sesi penglibatan ini adalah untuk merapatkan jurang pengetahuan dan sumber yang sering dihadapi oleh PKS dalam bidang ini,” katanya. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×