KUALA LUMPUR: Proton Holdings Bhd. (Proton) melancarkan Proton S70 pada harga bermula daripada RM73,800 dengan sasaran jualan lebih 3,000 unit sebulan.
Sedan segmen-C itu diperkenalkan dengan empat pilihan varian iaitu 1.5T Executive pada harga atas jalan tanpa insurans bermula RM73,800; 1.5T Premium (RM79,800); 1.5T Flagship (RM89,800) dan 1.5T Flagship X (RM94,800).
S70 merupakan model sedan pertama dikeluarkan Proton dengan kerjasama Geely.
Proton-Geely sebelum ini mengeluarkan tiga model SUV iaitu X70, X50 dan X90.
Pelancaran S70 menambah barisan kenderaan dikeluarkan oleh Proton antaranya Persona, Saga, Iris, Exora.
Model tersebut buat pertama kalinya menawarkan warna badan baharu hijau Teal Bayou bersama enam pilihan yang lain iaitu putih Snow, perak Armour, kelabu Space, merah Passion Red, biru Marine dan hitam Quartz.
Model itu dilengkapi enjin 1,477cc turbo DOHC tiga silinder yang menghasilkan kuasa 150PS pada 5,500rpm dan tork 226Nm pada 1,750-4,000rpm.
Ketua Pegawai Eksekutif Proton, Dr. Li Chunrong berkata, model tersebut diharap mengukuhkan pasaran eksport Proton di luar negara yang kini sudah berada di 16 pasaran.
Katanya, walaupun model tersebut mempunyai saiz dan ciri-ciri segmen-C tetapi ia ditawarkan pada harga segmen-B yang berpatutan.
“Kami dapat menawarkan harga yang menarik dan berpatutan kerana sasaran kami adalah dari segi margin jualan yang lebih tinggi iaitu lebih 3,000 sebulan.
“Model ini dijangka mampu melepasi jualan bulanan X50,” katanya dalam sidang media selepas pelancaran tersebut di Axiata Arena Bukit Jalil di sini.
Model terbaharu itu dilancarkan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz.
Turut hadir, Pengerusi Proton Holdings Bhd. (Proton), Tan Sri Syed Faisal Albar dan Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif, Roslan Abdullah. – UTUSAN










