PetGas catat untung bersih RM468.46 juta S3 2023

PetGas catat untung bersih RM468.46 juta S3 2023

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Petronas Gas Berhad (PetGas) merekodkan keuntungan bersih sebanyak RM468.46 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2023 (3Q TK2023), peningkatan 10.01 peratus daripada RM425.82 juta yang dicatatkan tempoh sama tahun sebelumnya.

Pendapatan bagi suku berkenaan bagaimanapun susut 0.9 peratus atau RM14.5 juta kepada RM1.55 bilion daripada RM1.56 bilion tempoh sama sebelumnya, disebabkan hasil yang rendah daripada segmen regasifikasi dan pengangkutan gas.

Bagi tempoh sembilan bulan, PetGas mencatatkan keuntungan bersih lebih tinggi sebanyak RM1.38 bilion meningkat 11.77 peratus daripada RM1.23 bilion tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan yang lebih rendah, kos pembiayaan dan cukai, yang mengimbangi penurunan 5.27 peratus dalam keuntungan kasar.

“Perolehan dalam tempoh itu meningkat 7.41 peratus kepada RM4.86 bilion daripada RM4.53 bilion, hasil sumbangan lebih tinggi daripada segmen utiliti serta semakan surcaj dan terma yang lebih baik dalam pembaharuan kontrak,” katanya dalam makluman kepada Bursa Malaysia, semalam.

Lembaga Pengarah meluluskan dividen interim ketiga sebanyak 18 sen sesaham biasa berjumlah RM356.2 juta bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2023.

PetGas berkata, jumlah asetnya kini sebanyak RM19.2 bilion, susut 2.4 peratus atau RM469.8 juta berikutan baki tunai yang rendah disebabkan penyelesaian awal liabiliti pajakan untuk unit simpanan terapung di terminal regasifikasi gas asli cecair di Sungai Udang, Melaka.

Mengenai masa depan, Kumpulan menjangka mencatat prestasi kewangan yang kukuh disokong oleh kontrak pendapatan yang stabil dan prestasi operasi yang cemerlang.

“Dalam persekitaran kos operasi yang tinggi selepas pandemik, Kumpulan akan terus berusaha untuk kecemerlangan operasi serta keseimbangan yang baik antara pertumbuhan pelaburan, kewangan yang berhemat dan agihan pemegang saham,” katanya.

Saham PetGas didagangkan dua sen atau 0.12 peratus lebih rendah pada RM17.12 pada sesi rehat pasaran tengah hari, memberikannya permodalan pasaran RM33.88 bilion. – UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN