PETALING JAYA: Penang Port Sdn. Bhd. (PPSB), pengendali operator dalam industri pelabuhan dan logistik, menjalin kerjasama dengan Universiti Malaysia Terengganu (UMT) untuk memangkin inovasi dalam industri pelabuhan.
Kerjasama itu bakal menjadikan PPSB sebagai industri pelabuhan pintar dan hijau serta menjadi contoh kepada penggiat industri pelabuhan yang lain.
Menurut PPSB, melalui memorandum persefahaman itu, PPSB dan UMT telah mengenal pasti beberapa bidang utama kerjasama, termasuk pertukaran kakitangan bagi program industri, memupuk perkongsian pengetahuan dan pertukaran pengalaman praktikal.
Ia akan menghasilkan pembangunan profesional yang dinamik selaras dengan permintaan industri.
“Program akademik ini membolehkan PPSB memanfaatkan peluang untuk bersama individu berbakat di UMT, memanfaatkan kepakaran dan kemahiran mereka bagi memenuhi keperluan khusus serta menangani cabaran yang dihadapi dalam industri pelabuhan dan logistik.
“Penyelarasan strategik akademik dan industri ini akan memastikan graduan dilatih dengan kemahiran dan pengetahuan yang relevan untuk membentuk kepakaran dalam industri ini,” katanya dalam kenyataan.
Majlis menandatangani kerjasama telah diadakan kelmarin di UMT dengan PPSB diwakili Ketua Divisyen Perkhidmatan Korporatnya, Mohamed Shaffi Khatri Abdulla, manakala UMT oleh Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ts. Dr. Mohd. Zamri Ibrahim.
Mohamed Shaffi Khatri berkata, kerjasama tertumpu kepada program penyelidikan dan pembangunan untuk memacu inovasi dan meningkatkan kecekapan dalam operasi pelabuhan.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan teknologi canggih, PPSB dan UMT mempunyai matlamat untuk menetapkan standard industri baharu pelabuhan dan meningkatkan produktiviti di kalangan kakitangan.
“Kerjasama ini merangkumi bengkel dan program latihan bagi memupuk budaya pembelajaran yang berterusan serta mendorong kakitangan untuk terus maju kehadapan khususnya dalam bidang industri pelabuhan,” katanya.
Visi jangka panjang kerjasama bertujuan meletakkan PPSB dan UMT sebagai pusat kecemerlangan dalam bidang penyelidikan serta pembangunan industri pelabuhan dan logistik.
Katanya, dengan memanfaatkan kepakaran UMT, dalam sektor tenaga yang boleh diperbaharui dan meningkatkan teknologi marin, PPSB berkeyakinan dapat menyesuaikan diri dengan arus pembangunan yang mampan.
“Penyepaduan teknologi dalam industri pelabuhan ini akan menjadi landasan penting dan dapat dicontohi oleh organisasi lain,” katanya. – UTUSAN










