PETALING JAYA: Pembelian ekuiti asing di Malaysia berlanjut untuk minggu ketiga berturut-turut, namun mengalami penurunan RM172.4 juta pada minggu lalu berbanding dengan RM676.7 juta pada minggu sebelumnya.
MIDF Research berkata, Rabu merekodkan aliran masuk asing harian tertinggi pada RM191.9 juta dalam laporan aliran dana mingguan.
“Pada hari ini, saham dengan jumlah belian bersih tertinggi ialah Genting Bhd. (RM23.9 juta), PPB Group Bhd RM19.7 juta) dan YTL Power International Bhd (RM14.9 juta) dan aliran masuk bersih pada Khamis menyaksikan aliran masuk sebanyak RM43.7 juta,” katanya dalam nota kajian.
Tambahnya, terdapat pembalikan pada Jumaat yang menyaksikan aliran keluar bersih sebanyak RM58.2 juta.
Jelasnya, tiga sektor utama dengan aliran masuk asing bersih tertinggi ialah Utiliti (RM115.2 juta), Penjagaan Kesihatan (RM63.5 juta), dan Pengangkutan dan Logistik (RM51.9 juta).
Manakala, tiga sektor teratas dengan aliran keluar asing bersih tertinggi ialah Produk dan Perkhidmatan Perindustrian (RM41.6 juta), Produk dan Perkhidmatan Pengguna (RM31.0 juta) dan Teknologi (RM30.8 juta).
“Institusi tempatan mencatatkan jualan bersih sebanyak RM95.6 juta minggu lepas, menandakan minggu ketiga berturut-turut jualan bersih.
“Setiap hari dagangan dalam seminggu menyaksikan jualan bersih kecuali pada hari Jumaat apabila Bank Negara Malaysia melaporkan bahawa KDNK Malaysia meningkat sebanyak 3.3 peratus tahun ke tahun pada suku ketiga tahun 2023,” katanya.
Selain itu, dengan jualan bersih berjumlah RM76.8 juta, peruncit tempatan meneruskan aliran jualan bersih mereka untuk minggu keenam berturut-turut dan hanya pada Selasa dan Jumaat merekodkan aliran masuk sebanyak RM22.8 juta dan RM3.2 juta.
“Dari segi penyertaan, terdapat peningkatan dalam purata jumlah dagangan harian (ADTV) dalam kalangan peruncit tempatan sebanyak 3.6 peratus dan pelabur asing sebanyak 3.3 peratus, namun penurunan dalam kalangan institusi tempatan sebanyak 7.4 peratus,” katanya.
Mengulas mengenai senario antarabangsa, MIDF berkata, kebanyakan pasaran mengakhiri minggu ini dengan keuntungan apabila satu siri data ekonomi daripada AS mengukuhkan kepercayaan bahawa Rizab Persekutuan (Fed) AS telah menyelesaikan kitaran kenaikan kadarnya dan akan memulakan pemotongan kadar tahun depan.
“Daripada 20 indeks yang dipantau, 18 mencatatkan keuntungan bagi minggu ini. Tiga indeks terbaik adalah DAX 40 dari Jerman (4.49 peratus), TAIEX Taiwan (3.15 peratus), dan Nikkei 225 Jepun (3.12 peratus), menunjukkan prestasi yang cemerlang bagi pasaran-pasaran tersebut.
“Satu-satunya penyusutan ialah Shenzhen CSI 300 China (0.51 peratus) dan Ho Chi Minh VSE dari Vietnam (0.04 peratus). FBM KLCI juga menyaksikan kenaikan dengan menambah 1.07 peratus untuk ditutup pada 1,460.67 mata bagi minggu ini,” katanya. – UTUSAN









