PETALING JAYA: Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) melihat potensi besar bagi meningkatkan perdagangan dengan Indonesia menerusi aktiviti pembangunan infrastruktur terutamanya di ibu negara baharu, Ibu Kota Nusantara (IKN).
Perkara itu dinyatakan oleh Pengerusi MATRADE, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican dalam pertemuan dengan Kamar Dagang dan Industri Indonesia (KADIN) di Jakarta.
“Pengumuman Presiden Indonesia (Presiden Jokowi) mengenai pemindahan ibu negaranya dari Jakarta ke IKN mewujudkan peluang bagi syarikat-syarikat Malaysia menawarkan produk dan perkhidmatan mereka khususnya dalam bidang pembinaan dan infrastruktur,” katanya dalam kenyataan.
Sehubungan itu, kata beliau, MATRADE merancang untuk menganjurkan Misi Akselerasi Eksport (EAM) bagi mempromosi produk dan perkhidmatan berkaitan pembinaan ke Jakarta dan IKN dari 18 hingga 21 Disember 2023.
Beliau berkata, MATRADE dan KADIN boleh membantu syarikat-syarikat besar dari kedua-dua negara menjalin usahasama dalam menjayakan projek infrastruktur di IKN.
Tambah Reezal Merican, berdasarkan pengalaman dalam pengendalian pelbagai projek tempatan mahupun antarabangsa, kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh syarikat Malaysia dalam industri pembinaan dan kejuruteraan boleh dimanfaatkan bagi kolaborasi bersama pemain industri Indonesia, menyokong keperluan pemerintah Indonesia membangunkan ibu negara, IKN dalam waktu terdekat.
“Antara projek pembangunan yang berpotensi untuk diterokai bagi kerjasama adalah pembinaan, lebuh raya bertol, perkhidmatan kejuruteraan, stesen janakuasa, telekomunikasi, hospital, perkhidmatan pengangkutan dan logistik serta teknologi maklumat,” katanya.
Beliau turut memaklumkan satu Memorandum Persefahaman (MoU) di antara MATRADE dan KADIN akan dimeterai tidak lama lagi di Kuala Lumpur bagi meningkatkan perdagangan antara Malaysia dan Indonesia melalui penerokaan pelbagai bidang baharu khususnya berkaitan digital dan teknologi.
Beliau turut mencadangkan penubuhan satu pasukan petugas khas di antara MATRADE dan KADIN bagi meneliti kerjasama dalam penggunaan platform digital sedia ada iaitu MATRADE Digital Trade Platform (MDTP) untuk mempromosi eksport barangan Malaysia dan Indonesia serta meneroka kolaborasi secara kolektif kedua-dua agensi menerusi pelbagai platform bagi merangsang akses pasaran yang lebih besar untuk eksport luar daripada ASEAN.
“Saya mahu lihat perdagangan Malaysia-Indonesia terus diperkukuh dan diangkat ke tahap yang lebih baik lagi. Saya yakin kerjasama MATRADE dan KADIN yang sedia terjalin ini akan memanfaatkan lebih banyak usahawan dan perusahaan dari kedua-dua negara,” ujar Reezal Merican. – UTUSAN










