MEMILIH lokasi yang baik untuk membeli rumah boleh menjadi agak mencabar. Pelbagai faktor perlu dipertimbangkan semasa memilih kawasan untuk membeli kediaman tersebut sama ada apartmen ataupun rumah bertanah.
Lokasi yang anda pilih secara langsung akan mempengaruhi harga rumah dan nilai pelaburan hartanah tersebut untuk masa depan.
Memiliki rumah di kawasan perumahan yang terletak di pusat dan berada berhampiran kemudahan termasuk pusat penjagaan kesihatan yang baik, institusi pendidikan, zon membeli-belah, pusat hiburan dan banyak lagi akan menambah nilai dalam pelaburan tersebut.
Selain itu, lokasi utama juga menawarkan taraf hidup yang lebih baik dan selesa kepada pemilik dan keluarga.
Minggu ini, RINGGIT akan berkongsi panduan pemilihan lokasi kediaman yang bukan sahaja dapat memberi kemudahan kepada pemilik tetapi juga sebagai pelaburan yang baik.
Berhampiran atau punyai akses ke tempat kerja
Lokasi kediaman yang berhampiran dengan tempat kerja akan memudahkan perjalanan harian supaya banyak masa tidak terbuang di jalan sahaja.
Ini kerana, lebih banyak masa dalam trafik akan mengurangkan jumlah masa yang anda luangkan di rumah baharu anda.
Tempat kerja yang jauh dengan rumah juga mungkin boleh menambah kos perbelanjaan termasuk petrol dan bayaran tol.
Selain itu, lokasi yang berhampiran bandar dan tempat kerja merupakan pelaburan yang baik untuk dijadikan rumah sewa.
Ketersambungan, infrastruktur dan pengangkutan
Ketersambungan dari lokasi kediaman ke hab utama lain di dalam dan sekitar bandar adalah amat penting.
Pemilik perlu menyemak sama ada kawasan kediaman tersebut mempunyai sistem pengangkutan awam yang baik yang boleh digunakan dengan selesa.
Kemudahan seperti Transit Aliran Ringan (LRT), Transit Aliran Massa (MRT) dan komuter adalah satu kelebihan kepada pemilik kediaman kerana perkara tersebut akan memudahkan anda menggunakan pengangkutan awam.
Nilai hartanah anda juga akan lebih tinggi jika ia mempunyai kemudahan sambungan dan pengangkutan yang sangat baik.
Selain itu, kawasan yang dipilih mestilah mempunyai infrastruktur jalan raya yang baik untuk anda berulang-alik dengan kenderaan sendiri.
Tidak ada gunanya membeli hartanah yang hebat dengan jalan yang tidak rata, sempit dan sebagainya.
Akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti
Akses kepada penjagaan kesihatan adalah sangat penting apabila memilih lokasi untuk kawasan kediaman bagi memudahkan urusan jika berlaku kecemasan mahupun rawatan pesakit luar sekalipun.
Oleh itu, anda mesti memastikan bahawa lokaliti tersebut berdekatan dengan pusat penjagaan kesihatan seperti hospital, klinik dan banyak lagi.
Berhampiran institusi pendidikan yang baik
Perkara ini perlu diambil kira terutamanya bagi mereka yang sudah berkeluarga ataupun yang sedang merancang untuk mempunyai keluarga apabila pindah masuk ke kediaman baharu.
Akses kepada pendidikan yang baik juga penting, terutamanya jika anda ingin membesarkan keluarga.
Kanak-kanak memerlukan pendidikan berkualiti dan kebanyakan kawasan kediaman di kelilingi oleh sekolah dan kolej.
Jika pendidikan mendahului senarai keperluan semasa pemilihan lokasi rumah, maka anda mesti melakukan penyelidikan sewajarnya untuk menyemak kawasan kediaman berhampiran sekolah dan kolej terbaik di sesebuah lokasi tersebut. – UTUSAN










