PETALING JAYA: KEINGINAN bagi memiliki rumah sendiri merupakan satu impian yang mahu dicapai oleh golongan muda terutama golongan yang baharu bekerja.
Tidak kira bekerja di sektor kerajaan mahu pun swasta, keinginan memiliki kediaman sendiri itu antara faktor kebanyakan golongan terbabit sanggup bekerja lebih masa bagi mencari duit pendahuluan membeli rumah.
Apatah lagi, harga sewa rumah yang semakin meningkat terutama bagi mereka yang bekerja di bandar besar seperti Lembah Klang.
Bagaimanapun, pelbagai masalah yang dihadapi bakal pembeli golongan baharu bekerja ini sekiranya mereka tidak mengetahui panduan bagi membeli rumah.
Bercakap kepada Utusan Malaysia, Timbalan Pengarah Pusat Libatsama Masyarakat dan Jaringan Industri, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Dr. Muhammad Iqmal Hisham Kamaruddin dan Pensyarah Kanan, Fakulti Ekonomi dan Muamalat USIM, Dr. Mohd. Faisol Ibrahim berkongsi panduan.
Bagi golongan baharu bekerja, antara panduannya, kemampuan kewangan bagi pembelian secara pembiayaan, jumlah bayaran semula pembiayaan bulanan mestilah tidak melebihi satu pertiga (⅓) daripada jumlah pendapatan kasar.
Ini merupakan panduan utama bagi memastikan rumah yang dibeli mampu dibayar secara ansuran bulanan dan pembeli tidak terbeban sekiranya terdapat perbelanjaan lain turut diperlukan seperti makan minum, kenderaan, nafkah, perlindungan takaful, simpanan dan pelaburan.
Ia juga termasuk jumlah bayaran deposit, kos guaman dan ejen hartanah, kos Mortgage Reducing Term Takaful (MRTT), Mortgage Level Term Takaful (MLTT), kos perlindungan kebakaran, kos perkhidmatan kawalan jaga, kos penyelenggaraan, kos persatuan penduduk setempat dan juga kos-kos lain yang berkaitan.
Perkara berikut juga patut diberikan perhatian:
1. Pembeli juga mesti mengetahui sebarang kemudahan kewangan yang boleh didapatkan dengan pembelian rumah seperti diskaun atau rebat kos rumah (pembelian awal atau kuota atau lot bumiputera), penanggungan kos guaman, barangan dan perkhidmatan lain yang percuma diberikan oleh pemaju. Ini sedikit sebanyak membantu bagi meringankan beban bajet keseluruhan pemilikan rumah.
2. Beli rumah di kawasan yang strategik iaitu berhampiran dengan banyak kemudahan awam dan infrastruktur lengkap seperti sekolah, stesen minyak, masjid, jalan raya atau tol. Dengan kemudahan yang tersedia ini akan membantu memberi keselesaan dan kemudahan kepada kesejahteraan hidup mereka.
3. Elak membeli kereta baharu sebelum membeli rumah. Ini kerana, kereta dianggap aset yang sentiasa susut nilai mengikut masa dan jangka hayat kenderaan itu. Ia berbeza dengan rumah kerana harga rumah akan sentiasa meningkat setiap tahun khususnya di kawasan strategik.
4. Jenis pembiayaan pemilikan rumah. Pembeli mesti mengetahui jenis pembiayaan yang digunakan bagi memiliki sebuah rumah termasuk kategori pembiayaan, kadar faedah, tempoh pinjaman, jumlah bayaran semula secara ansuran serta terma dan syarat berkaitan pembiayaan.
5. Pembelian rumah pertama perlu bersifat pelaburan kerana biasanya rumah pertama yang dibeli banyak kekurangan dari sudut keluasan, kemudahan, keselesaan dan sebagainya disebabkan kekangan bajet. Justeru, mereka perlu merancang kewangan supaya dalam tempoh lima atau 10 tahun lagi, mereka mampu memiliki rumah idaman yang sangat cantik, strategik dan banyak kemudahan dan mampu memberi keselesaan kepada mereka. Rumah pertama yang telah berusia lima tahun atau 10 tahun boleh dijual dengan harga yang tinggi dan mendapat untung. Keuntungan ini boleh dijadikan modal untuk memiliki rumah idaman.
6. Tabungan khas sebagai deposit untuk membeli rumah. Sebagai contoh, setiap bulan sebanyak 15 hingga 30 peratus daripada pendapatan bersih akan disimpan dalam ASB untuk dijadikan deposit bagi membeli rumah dalam tempoh tiga tahun dari tempoh bekerja. Ini dapat membantu golongan muda lebih fokus terhadap apa yang ingin dicapai dan melahirkan ketua isi rumah yang bertanggungjawab dan matang.
7. Pastikan pendapatan bulanan atau pendapatan bersih boleh guna 80 peratus dan ke atas supaya apabila permohonan pembiayaan perumahan dengan institusi perbankan akan menjadi senang kerana tiada komitmen lain untuk dibayar selain rumah yang ingin dibeli.
8. Elak melanggan kad kredit dengan mana-mana institusi perbankan kerana kad kredit ini merupakan antara caj yang paling tinggi dikenakan kepada pelanggan bank berbanding produk-produk lain. Kad kredit ini akan menjadi lebih parah apabila pelanggan khususnya golongan muda suka berbelanja tanpa mengikut keperluan dan jumlah pendapatan.
9. Golongan muda perlu berdisiplin dalam berbelanja supaya mereka mengetahui setiap perbelanjaan yang bersifat keperluan atau kemahuan semata-mata. Jika ini dapat dibezakan, mereka akan mampu memiliki rumah.
10. Tempoh tanggungan kecacatan dan ganti rugi. Pembeli mestilah mengetahui bahawa semua perbelanjaan untuk membaik pulih kecacatan yang ada semasa pemilikan hendaklah ditanggung oleh pemaju dan tiada sebarang kos tambahan dikenakan. Biasanya, tempoh tanggungan kecacatan bermula daripada tarikh serahan milikan kosong atau tarikh pembeli menerima kunci sehingga 24 bulan daripada tarikh tersebut.
Selain itu, tuntutan ganti rugi juga boleh dibuat sekiranya pemaju lewat menyerahkan milikan kosong hartanah. Secara asasnya, tuntutan ganti rugi boleh dibuat jika pemaju lambat menyiapkan pembinaan seperti yang dipersetujui berdasarkan klausa dalam perjanjian jual beli. – UTUSAN










