KPS peroleh kontrak RM162.18 juta dari Air Selangor

KPS peroleh kontrak RM162.18 juta dari Air Selangor

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Kumpulan Perangsang Selangor Bhd. (KPS), syarikat di bawah Kerajaan Negeri Selangor memperoleh kontrak bernilai RM162.18 juta untuk membekalkan pelbagai bahan kimia rawatan air kepada pengurusan Air Selangor Sdn. Bhd. (Air Selangor).

Dalam pengumuman di Bursa Malaysia, KPS memberitahu, unit miliknya dengan pegangan 51 peratus Aqua-Flo Sdn Bhd. telah menandatangani perjanjian rangka kerja dengan Air Selangor untuk kontrak dua tahun bermula dari 1 Januari 2024 hingga 31 Disember 2025.

Katanya, Aqua-Flo dikehendaki menyerahkan bon prestasi sebanyak lima peratus daripada jumlah kontrak kepada Air Selangor sepanjang tempoh kontrak tersebut.

Perjanjian itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan berulang (RRPT).

KPS dikuasai oleh milik kerajaan negeri Selangor, Darul Ehsan Investment Group (DEIG) dengan pegangan sebanyak 57.88 peratus.

Air Selangor ialah anak syarikat milik penuh Air Selangor Holdings Bhd (ASHB) dan Menteri Besar Selangor Incorporated (MBI) adalah syarikat induk DEIG dan ASHB.

Sementara itu, Pengerusi dan Pengarah Bukan Eksekutif Bukan Bebas KPS, Datuk Haris Kasim menganggotai lembaga pengarah MBI, ASHB dan Air Selangor.

Selain itu, seorang lagi Pengarah KPS, Norita Mohd Sidek, menganggotai lembaga pengarah MBI, DEIG dan ASHB.

Oleh kerana hubungan itu, kedua-dua individu tersebut dikehendaki mengelak daripada menyertai dan mengundi pada resolusi yang berkaitan dengan perjanjian RRPT. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×