Jatuh bangun bersama susu

Jatuh bangun bersama susu

MOHD. Harmizuan Hamzah menunjukkan produk susu yang dikeluarkan olehnya semasa ditemui di Pasir Pekan, Tumpat, Kelantan. – UTUSAN/KAMARUL BISMI KAMARUZAMAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOTA BHARU: Lapan tahun lalu Mohd. Harmizuan Hamzah memberanikan dirinya ‘terjun’ ke dalam dunia perniagaan dengan mengeluarkan produk minuman berasaskan susu dikenali sebagai Mizz Wan Susu Kambing Asli.

Bagaimanapun, produk itu hanya bertahan selama tiga tahun selepas berada di pasaran apabila permintaan terhadap minuman itu semakin berkurang.

Kegagalan tersebut tidak mematahkan semangat anak kelahiran Kampung Teliar, Pasir Mas apabila bangkit sekali lagi dengan produk berasaskan susu dikenali sebagai Multivita setahun kemudian iaitu pada 2019.

Percubaan berani Mohd. Harmizuan itu membawa tuah apabila produk minuman itu ‘meletup’ sekali gus membuatkan dia tidak menang tangan.

“Saya anggap ini ‘tuah’ dan rezeki terpijak kerana ia berkembang semasa seluruh dunia termasuk Malaysia sedang berdepan dengan pandemik Covid-19 pada Mac 2020.

“Masa Covid-19 menyerang hati saya menjadi tidak keruan, maklumlah Multivita jenama baharu yang masih lagi bertatih di pasaran. Ketika itu, saya ha­nya mampu berdoa supaya tidak gagal dalam perjuangan ini (perniagaan),” katanya kepada Utusan Malaysia, baru-baru ini.

Mohd. Harmizuan memberitahu, doanya itu bagaikan didengari oleh Sang Pencipta apabila permintaan sepanjang pandemik Covid-19 naik mencanak disebabkan tahap kesihatan dalam kalangan penduduk tinggi semasa penularan virus itu.

Katanya, sehingga kini dia sudah mempu­nyai 44,000 ejen dan pasaran sudah menjangkau ke Singapura serta Thailand.

“Alhamdulillah, pengiktira­fan Asia Super Health Brand menjadi pembakar semangat kepada saya untuk terus bekerja keras bagi memastikan Multivita kukuh berdaya saing ‘mem­belah’ pasaran.

“Pada masa sama, sebuah kilang yang beroperasi di Pengkalan Chepa di sini terus me­ngukuhkan lagi semangat saya untuk terus berjaya sebagai usahawan susu,” ujarnya.

Mengimbau semula kegagalan produk susu kambing, Mohd. Harmizuan berkata, sejujurnya dia agak terkesan de­ngan perkara ter­sebut sehingga hampir berputus asa untuk meneruskan perniagaan.

Bagaimanapun, katanya, so­kongan padu isteri dan ahli keluarga membuatkan dia kembali bersemangat untuk menyahut cabaran bergelar usahawan susu.

“Alhamdulillah, semua kerja keras itu terbalas apabila pengguna memberikan respon positif kepada produk Multivita. Produk ini bukan sahaja memberi khasiat, malah kami turut menyediakan peluang kepada orang ramai untuk menjana pendapatan menerusi jualan Multivita.

“Ini telah terbukti apabila ramai ejen kami sudah berjaya menjana pendapatan sehingga enam angka sebulan. Produk yang dijual pada harga RM139 sebotol mengandungi 19 vitamin dan mineral, omega 3 serta colostrum,” katanya.

Orang ramai yang ingin mengetahui maklumat lanjut boleh melayari Facebook Multivita HQ dan laman sesawang www.multivita.com. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN