PETALING JAYA: Jati Tinggi Group Berhad melancarkan prospektus untuk tawaran awam permulaan (IPO) akan datang yang menyasarkan RM18.04 juta.
Dalam kenyataan, Pengarah Urusan Jati Tinggi, Datuk Seri Lim Yeong Seong berkata, Jati Tinggi menyasarkan IPO tersebut melalui 66.80 juta saham baharu berharga RM0.27 sesaham.
“Modal yang diterima akan digunakan untuk pertumbuhan Jati Tinggi, meningkatkan kapasiti operasi dan mengukuhkan kewangan,” katanya.
Sehubungan itu, Yeong Seong berkata, hasil tersebut akan dibahagikan kepada pembayaran balik pinjaman bank (RM7.00 juta), modal kerja am (RM7.34 juta), pelaburan dalam perbelanjaan modal (RM0.20 juta) dan proses penyenaraian (RM3.50 juta).
“IPO ini mencerminkan pencapaian penting dan komitmen Kumpulan terhadap kecemerlangan.
“Dana yang dikumpulkan akan meningkatkan keupayaan dalam menyokong pertumbuhan masa depan, dengan akses kepada sumber kewangan yang lebih besar untuk mendapatkan dan melaksanakan projek-projek lebih besar.” katanya.
Sementara itu, Ketua Kewangan Korporat TA Securities Holdings Berhad, Ku Mun Fong berkata, prestasi Jati Tinggi sepanjang tiga tahun kewangan penuh yang lalu mempamerkan asas dan perancangan strategik.
“IPO Jati Tinggi adalah langkah penting untuk meluaskan jangkauan dan mengukuhkan posisi sebagai pemain terkemuka dalam industri kejuruteraan utiliti infrastruktur.” katanya. – UTUSAN










