KUALA LUMPUR: Ital Auto Malaysia Sdn. Bhd. melancarkan Ferrari Purosangue dan Roma Spider sempena Pelancaran Bilik Pameran pertamanya di Malaysia.
Pengarah Eksekutif Ital Auto Malaysia Sdn. Bhd., Zahir Kelvin Ong Abdullah berkata, Ital Auto Malaysia menjadi pengimport dan pengedar rasmi kereta mewah itu dan pelancaran bertepatan dengan penampilan sulung dua model Ferrari, Purosangue dan Roma Spider.
Beliau berkata, Purosangue mempunyai empat tempat duduk, reka bentuk enjin unik di bahagian tengah hadapan, merangkumi enjin V12 asli Maranello, dan berkelajuan maksimum sehingga 310 km/j.
“Manakala, Roma Spider adalah kereta berenjin hadapan kali pertama sejak 1969, bahagian atas lembut sepadan dengan keselesaan akustik Ferrari, fops dan boleh dibuka hanya dalam 13.5 saat.
‘Kereta ini mempunyai kelajuan maksimum sehingga 320 km/j serta dikuasakan oleh V8 turbo berkembar menghasilkan 620cv,” katanya pada Majlis Pelancaran Bilik Pameran Ital Auto Malaysia di sini, baru-baru ini.
Turut hadir, Pengurus Besar Ital Auto Malaysia Sdn. Bhd, Damien Woo.
Ferrari Purosangue dan Roma Spider dijual bermula pada harga RM5 juta dan RM3.2 juta, termasuk duti dan cukai.
Selain itu, Zahir Kelvin berkata, semua kereta Ferrari yang dibeli daripada Ferrari Ital Auto Malaysia diberi jaminan lanjutan tujuh tahun dengan penyelenggaraan tulen.
Tambah beliau, pembukaan bilik pameran di pusat bandar adalah untuk memberi kemudahan dan perkhidmatan yang lebih menyeluruh kepada pelanggan Ferrari.
“Bilik pameran ini merangkumi 3,826 kaki persegi, dengan dua ruang pameran kenderaan,” katanya.
Bercakap kepada pemberita kemudiannya, Zahir Kelvin berkata, pelanggan Ferrari ketika ini dapat melakukan servis di pusat servis sementara Ital Auto Malaysia di Glenmarie, Shah Alam.
“Pusat servis ini hanyalah sementara dan Ital Auto Malaysia sedang mencari lokasi tetap yang bersesuaian,” katanya.
Sementara itu, Presiden Hab Ferrari Timur Jauh dan Asia Barat, Dieter Knechtel ketika ditemui pemberita memberitahu, Ferrari akan memperkenalkan kereta elektrik pertama menjelang hujung 2025. – UTUSAN










