PETALING JAYA: Enovix Corporation (Enovix), syarikat bateri silikon akan menubuhkan fasiliti pembuatan volum tinggi pertamanya (Fab2) di Malaysia dengan pelaburan sebanyak RM5.8 bilion (AS$1.2 bilion) dalam tempoh 15 tahun.
Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Enovix dalam kenyataan bersama berkata, pelaburan tersebut termasuk untuk barisan pembuatan pertama berjumlah RM315 juta (AS$70 juta) yang melibatkan bekerjasama dengan YBS International Berhad.
Perkembangan tersebut adalah lanjutan daripada pengumuman awal pada Ogos 2023 lalu, menandakan peristiwa penting dalam strategi pengembangan global syarikat itu.
Pelan pelaburan syarikat didedahkan kepada Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semasa pertemuan dii luar acara Minggu Pemimpin Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (APEC) 2023 di San Francisco, Amerika Syarikat (AS).
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata, pihaknya mengalu-alukan keputusan strategik Enovix untuk mewujudkan fasiliti pembuatan volum tinggi pertamanya di Malaysia.
Katanya, perkara tersebut menandakan daya tarikan negara sebagai destinasi pelaburan pilihan di Asia Tenggara untuk syarikat teknologi maju.
“Penubuhan fasiliti teknologi bateri berteknologi tinggi Enovix di Malaysia adalah sejajar dengan misi Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2030 dan menjanjikan impak limpahan tempatan yang ketara.
“Ini terutamanya dalam penciptaan peluang pekerjaan berkualiti tinggi yang besar untuk rakyat Malaysia dan peningkatan landskap perindustrian negara kita,” katanya dalam kenyataan itu.
Semenatra itu, Ketua Pegawai Operasi Enovix, Ajay Marathe berkata, pemilihan Malaysia adalah keputusan yang mudah, memandangkan kerjasama rapat dengan kerajaan Malaysia serta telah membina dan menjalankan beberapa kilang besar di sini sejak tiga dekat lalu.
“Kumpulan bakat teknikal Malaysia yang banyak, persekitaran mesra perniagaan dan berdekatan dengan vendor kami dan kemudahan pembuatan pelanggan kami, menjadikannya lokasi yang ideal untuk Syarikat membantu membangunkan ekosistem rantaian bekalan bateri dan mengeluarkan serta menskalakan bateri generasi akan datang,” ujarnya.
Enovix beribu pejabat di AS dengan lokasi di India, Korea dan Malaysia. Aplikasi teknologi bateri Enovix meluas ke internet kebendaan (IoT), mudah alih, peranti pengkomputeran dan kenderaan.
Enovix Malaysia Sdn. Bhd kini dalam proses pemasangan jentera dan diunjurkan untuk memulakan operasi penuh pada 2024. – UTUSAN










