PETALING JAYA: Jualan pendek harian (IDSS) Pertama Digital Bhd. telah digantung sepanjang hari ini, selepas harga terakhirnya jatuh lebih daripada 15 peratus atau lima sen daripada harga rujukan.
Bursa Malaysia dalam satu makluman memberitahu, jualan pendek di bawah IDSS akan diaktifkan semula pada pukul 8.30 pagi esok.
Pada permulaan dagangan pertama hari ini, saham Pertama Digital (dahulunya dikenali sebagai Sinotop Holdings Bhd.) turun hampir 10 peratus kepada RM4.20, daripada rekod tertinggi RM4.65 semalam, memetik laporan The Edge.
Kaunter itu kemudian melanjutkan kerugiannya kepada RM3.64 pada masa penulisan, turun 21.72 peratus atau RM1.01, memberikannya permodalan pasaran RM1.6 bilion.
Sebelum penurunan mendadaknya, kaunter itu telah memperoleh 166 peratus keuntungan hingga kini daripada RM1.75, dan 206 peratus sepanjang tahun lalu daripada RM1.52.
Pertama Digital, yang diklasifikasikan sebagai “pengeluar tersenarai terjejas”, memohon lanjutan 12 bulan pada Ogos, untuk menyerahkan pelan penyusunan semulanya kepada pihak berkuasa berkaitan.
Dari segi kewangan, Kumpulan telah mengalami kerugian selama lima suku berturut-turut.
Kerugian bersihnya meningkat kepada RM4.5 juta bagi suku kedua berakhir 30 Jun 2023 (2Q TK2023), daripada RM24,000 pada suku yang sama tahun sebelumnya, terutamanya disebabkan oleh perbelanjaan pentadbiran dan operasi yang lebih tinggi.
Pencapaian itu direkodkan disebalik hasil yang meningkat 37.15 peratus kepada RM1.65 juta daripada RM1.21 juta, disebabkan komisen lebih tinggi yang diperoleh daripada perkhidmatan kutipan jaminan eJamin — penyelesaian pembayaran jaminan digital yang digunakan di mahkamah di seluruh negara.
Kumpulan itu `mencetuskan’ Perenggan 8.03A(2)(a) (b) Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama pada Ogos 2022, disebabkan penjualan anak syarikat tekstilnya yang berpangkalan di China, Be Top Group Ltd., pada harga RM70 juta, dengan tujuan menjadi penyedia perkhidmatan digital sepenuhnya. – UTUSAN










