JOHOR BAHRU: BSH Home Appliance Sdn. Bhd., melancarkan kedai peralatan rumah pertamanya di luar Lembah Klang di pusat beli-belah Toppen Mall, di sini hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutifnya, Gary Te berkata, pembukaan kedai jenama terkemuka Jerman itu adalah yang keenam di negara ini dan pihaknya berhasrat membuka empat lagi kedai menjelang 2025.
Katanya, pembukaan premis di Wilayah Selatan didorong oleh kuasa pembeli yang meluas serta peningkatan kesedaran jenama produk premium itu dan faktor kedudukan yang berhampiran dengan Singapura.
“Sebagai salah satu pengeluaran peralatan rumah terbesar di Eropah, kita akan membawakan produk kejuruteraan Jerman bagi segmen premium dalam usaha meningkatkan kualiti hidup konsumer.
“Pasaran di Johor cukup menarik dan kita percaya dapat menarik kuasa pembeli dari Singapura setelah jenama ini cukup dikenali di republik itu.
“Kita merancang untuk membuka empat lagi kedai BSH Home Appliance setelah tergendala akibat pandemik Covid-19 dan antara lokasi yang dikenal pasti adalah di Pulau Pinang dan satu lagi di negeri ini,” katanya selepas merasmikan kedai itu.
Yang turut hadir, Pengarah KT Kitchen Hub Sdn. Bhd., Jacky Wong, rakan strategik BSH Home Appliance bagi cawangan tersebut.
Gary tidak menolak kemungkinan untuk terus meneroka pasaran dengan membuka cawangan Bosch di Sabah dan Sarawak.
Mengenai kerjasama bersama Bosch, Jacky Wong berkata, pihaknya berdedikasi untuk membantu para pelanggan dalam mengubah dapur mereka menjadi ruang yang kemas, teratur, dan praktikal.
“Bosch sejak sekian lama berdedikasi menghasilkan produk dan perkhidmatan kejuruteraan yang melampaui fungsi semata-mata.
“Kami amat berbesar hati untuk menjalin perkongsian strategik ini untuk memperkenalkan rangkaian produk yang hebat dan memenuhi permintaan pasaran yang semakin tinggi,” katanya. – UTUSAN










