CYBERJAYA: Perbadanan Bioekonomi (Bioeconomy Corporation) melalui inisiatif bioteknologi dalam keterjaminan makanan, Bio-PINTAR berjaya menghasilkan penanaman sayur ladang tertutup menerusi teknologi pintar pertanian dalaman (SIF).
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang berkata, SIF berkonsepkan penanaman menegak (vertical farming) dan berasaskan bioteknologi melalui penggunaan teknologi internet kebendaan (IoT) dan awan (cloud) bagi penanaman sayuran premium yang bebas daripada racun kimia di dalam persekitaran terkawal dan kondusif.
Kata beliau, hasil pertama produk sayuran ini dieksport ke pasaran Singapura bermula hari ini dengan penghantaran permulaan sebanyak 4,000 pokok sayuran dalam memenuhi permintaan 60 tan bersamaan nilai jualan berjumlah RM5 juta setahun.
Menurut beliau, Bioeconomy Corporation memadankan dua syarikat di bawah program Biobased Accelerator (BBA) iaitu MSD Inonovation dan Sustenir dalam mengaplikasikan model SIF Bio-PINTAR untuk menghasilkan dan mempromosikan sayur-sayuran berkualiti dan bebas racun perosak.
“SIF dapat menangani cabaran-cabaran utama dalam pertanian, termasuk ketidakpastian cuaca, tanah dan sumber biodiversiti yang terhad, serta penggunaan racun perosak.
“Jumlah penghantaran ke Singapura akan dipertingkatkan selaras dengan persefahaman perniagaan antara pihak MSD Innovation dan rakan kolaborasi pemasaran di Singapura,” katanya ketika berucap pada upacara pelepasan penghantaran pertama Sayuran Ladang Tertutup Bio-PINTAR ke Singapura, di sini hari ini.
Bioeconomy Corporation adalah agensi di bawah MOSTI dalam menangani isu keterjaminan makanan melalui inisiatif bioteknologi mereka, Bio-PINTAR serta program BBA.
Dalam pada itu, Lih Kang berkata, pelaksanaan Bio-PINTAR menyokong Dasar Bioteknologi Negara 2.0; Dasar Sains, Teknologi dan Inovasi Negara 2021-2030 serta Dasar Agromakanan Negara 2021-2030.
Katanya, kesemua dasar ini menekankan pengeluaran makanan yang mampan melalui penggunaan teknologi terkini bagi mengutamakan pertumbuhan ekonomi, kesejahteraan rakyat serta transformasi ke arah negara berteknologi tinggi.
“Bio-PINTAR dilihat sebagai sebuah program yang membudayakan teknologi dan membentuk komuniti bio-inovatif yang dinamik untuk menggunapakai penyelesaian pertanian pintar berasaskan bioteknologi dan teknologi pertanian moden.
“Penggunaan Bio-PINTAR mesti diperluaskan lagi di peringkat tempatan dan antarabangsa melalui sokongan penuh kepada pihak Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Bioeconomy Corporation dan semua pihak berkepentingan berkaitan untuk memenuhi matlamat ini,” katanya. – UTUSAN










