Bermaz Auto `pulangkan' hak pengedaran Peugeot

Bermaz Auto `pulangkan’ hak pengedaran Peugeot kepada Stellantis

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Bermaz Auto Bhd. akan mengembalikan hak pengedaran jenama Peugeot kepada pemiliknya, Stellantis NV, berikutan keputusan Stellantis untuk menubuhkan syarikat jualan nasional sendiri (NSC) di Malaysia.

Bermaz telah mengedarkan kenderaan Peugeot di Malaysia sejak Disember 2020 melalui Bermaz Auto Alliance Sdn. Bhd., dengan perjanjian pengedaran semasa akan tamat pada akhir November.

Dalam kenyataan bersama, Bermaz memberitahu, Stellantis berhasrat untuk “menguruskan secara langsung jualan dan pengedaran kenderaan Stellantis serta pengenalan jenama Stellantis lain di Malaysia dan rantau ASEAN”, dengan rancangan untuk menubuhkan NSC pada suku pertama 2024 (1Q2024).

“Perubahan dalam strategi perniagaan adalah sebahagian daripada cita-cita pertumbuhan Stellantis di rantau ASEAN, sejajar dengan rancangan elektrifikasinya dan strategi Global Dare Forward 2030 syarikat itu,” katanya.

Tambah Bermaz, dalam tempoh peralihan, Bermaz Auto Alliance akan terus bekerjasama dengan Stellantis untuk penjualan kenderaan melalui rangkaiannya sendiri dan memastikan tiada gangguan dalam perkhidmatan kenderaan, alat ganti, waranti dan perkhidmatan selepas jualan kepada pelanggan.

Jelasnya, penamatan perjanjian pengedaran itu dijangka tidak mempunyai sebarang kesan kewangan dan operasi material ke atas kumpulan Bermaz Auto untuk tahun kewangan semasa.

Menurut laporan tahunan Bermaz, operasi Peugeotnya di Malaysia menyaksikan keuntungan sebelum cukai (PBT) sebanyak RM9.7 juta pada tahun kewangan berakhir 30 April 2023 (TK2023), meningkat 142.5 peratus daripada RM4 juta pada TK2022, apabila hasil meningkat 84.97 peratus kepada RM301.5 juta daripada RM163 juta.

Ia mewakili kira-kira 8.5 peratus daripada pendapatan TK2023 Kumpulan Bermaz sebanyak RM3.54 bilion dan 2.3 peratus daripada PBT Kumpulan sebanyak RM423.3 juta.

Selain Peugeot, Bermaz juga mengedarkan kenderaan Mazda melalui Mazda Malaysia Sdn. Bhd. dengan kepentingan 30 peratus, dan kenderaan Kia melalui Kia Malaysia Sdn. Bhd. (33.33 peratus kepentingan).

Kumpulan itu menjual 19,688 kenderaan di Malaysia pada TK2023, meningkat 47 peratus daripada 13,362 pada TK2022. Ia juga mengedarkan kenderaan di Filipina dengan 1,682 unit dijual di sana pada TK2023.

Jenama lain di bawah Kumpulan Stellantis termasuk Fiat, Citroen, Jeep dan Vauxhall.

Pada 10.30 pagi, harga saham Bermaz didagangkan satu sen atau 0.4 peratus lebih rendah kepada RM2.45, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.87 bilion.

Sementara itu, penganalisis berpendapat, keputusan Bermaz itu tidak akan memberi kesan besar kepada kewangan syarikat berkenaan memandangkan sumbangan kecil jualan model berkenaan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN