PETALING JAYA: Aset pelaburan KWSP terus mencatat pertumbuhan kukuh disokong oleh pendapatan lebih tinggi yang dijana daripada pelaburan dan caruman bersih yang diterima pada September 2023 sebanyak RM73.58 bilion, berbanding RM63.61 bilion pada 2022.
Dana pencen itu berkata, setakat September 2023, nilai aset pelaburan KWSP adalah berjumlah RM1,092.32 bilion (RM1.1 trilion), di mana 37.7 peratus daripadanya dilaburkan dalam pelaburan luar negara.
“Peningkatan dalam pendedahan luar negara sejak Disember 2022 adalah disebabkan oleh pergerakan positif dalam pertukaran matawang asing, serta peningkatan modal yang mendorong penilaian tinggi.
“Pada S3 2023, pelaburan luar negara KWSP menjana RM6.55 bilion, atau 45 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan yang direkodkan,” katanya dalam kenyataan.
KWSP merekodkan jumlah pendapatan pelaburan sebanyak RM47.86 bilion untuk sembilan bulan berakhir 30 September 2023, meningkat 33 peratus daripada RM36.04 bilion yang dicatatkan pada tempoh sama 2022.
Jumlah ini adalah selepas mengambil kira turun nilai kos atas ekuiti tersenarai yang direkodkan untuk suku tersebut.
Daripada RM47.86 bilion jumlah pendapatan pelaburan, sebanyak RM4.62 bilion adalah dijana daripada keuntungan mark-to-market (MTM) sekuriti yang belum direalisasikan. Keuntungan MTM disumbangkan oleh turun naik pertukaran matawang asing.
Jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga berakhir 30 September 2023 adalah RM14.67 bilion selepas mengambil kira turun nilai kos.
Jumlah ini adalah peningkatan sebanyak RM2.38 bilion daripada RM12.29 bilion yang dicatatkan pada suku yang sama pada 2022.
Menurut KWSP, sebanyak RM42.71 bilion daripada RM47.86 bilion pendapatan pelaburan dijana untuk Simpanan Konvensional, dan RM5.15 bilion untuk Simpanan Shariah. Simpanan Shariah memperoleh pendapatannya daripada bahagian portfolio Syariah manakala pendapatan Simpanan Konvensional dijana oleh kedua-dua portfolio Syariah dan Konvensional.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pada S3 2023 KWSP menyaksikan peralihan yang ketara dalam prestasi ekuiti global yang telah mencatatkan pulangan negatif berbanding keuntungan kukuh yang dicatatkan pada separuh pertama tahun itu.
Beliau berkata, perang Gaza-Israel dan konflik Russia-Ukraine yang berterusan pastinya akan menyumbang kepada suasana ketidaktentuan dan turun naik pasaran.
“Kami menjangkakan risiko geopolitik ini akan terus menerukkan lagi keadaan ekonomi yang sememangnya bergelora,” katanya.
Mengulas tinjauan oleh Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) 2024 bahawa pertumbuhan ekonomi global pada 2024 akan lebih rendah sedikit daripada 2023, beliau berkata, KWSP memahami bahawa keadaan ekonomi semasa dijangka akan membentuk landskap perniagaannya.
Amir Hamzah berkata, pelancaran Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia (NIMP) 2030 oleh kerajaan menandakan satu peristiwa penting dalam trajektori ekonomi negara kerana ia menyediakan hala tuju strategik untuk membangunkan sektor perindustrian supaya berdaya saing di peringkat global dengan kerumitan ekonomi yang tinggi.
“Adalah penting bagi kami untuk memantau perkembangan ini dan kesannya terhadap portfolio kami. Walaupun KWSP merekodkan suku ketiga yang baik, ia tidak menunjukkan prestasi pada suku keempat yang masih menjadi kebimbangan berikutan peningkatan risiko geopolitik yang mengancam sistem kewangan global di sebalik peningkatan risiko inflasi yang lebih tinggi dan pertumbuhan yang lebih perlahan.
“Dalam melayari landskap ekonomi ini, kami tetap komited terhadap Alokasi Aset Strategik (SAA) jangka panjang kami yang telah membuktikan keberkesanannya secara konsisten dan berperanan penting dalam mengukuhkan daya tahan semasa ketidaktentuan pasaran,” katanya. – UTUSAN










