PETALING JAYA: Garmin melancarkan jam pintar baharu iaitu Venu 3 dan 3S untuk pasaran tempatan.
Kemunculan model terbaru ini merupakan tambahan kepada keluarga jam pintar model Venu 2 yang diperkenalkan sebelum ini.
Venu 3 dibangunkan dengan teknologi mempunyai alat khas bagi memantau pola waktu tidur dan pelbagai aspek kesihatan lain termasuk kadar denyutan jantung.
“Jam ini juga mempunyai 30 mod pelbagai jenis sukan termasuk larian, basikal dan juga berenang.
“Selain itu, jam ini juga mempunyai mod kerusi roda khusus untuk golongan orang kurang upaya (OKU) memantau jumlah tolakan dan jarak kerusi roda ditolak,” kata syarikat itu dalam kenyataan.
Dalam pada itu Garmin berkata, jam siri Venu 3 dilengkapi skrin 1.4 inci dengan resolusi 454×454 pixels.
“Untuk skrin Garmin Venu 3S pula sebesar 1.2-inci beresolusi 390 x 390 pixels. Kedua-duanya menawarkan dua saiz kerangka iaitu 41 milimeter (mm) dan 45 (mm) yang menggunakan skrin AMOLED berwarna sesentuh dan tali silikon pelbagai warna,” jelasnya.
Bateri yang disertakan itu mampu bertahan sehingga 14 hari penggunaan untuk Venu 3, manakala Venu 3s pula boleh digunakan sehingga 10 hari menerusi mod jam tangan pintar.
Selain itu, jam berkenaan juga turut dilengkapi pembesar suara dan mikrofon untuk menjawab panggilan telefon selain membalas mesej hanya menerusi jam tangan. – UTUSAN










