TNB wujud perkongsian rentas sempadan

TNB wujud perkongsian rentas sempadan

BAHARIN Din (kanan) pada majlis pemeteraian memorandum persefahaman antara TNB, PLN dan SPPA.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA: Tenaga Nasional Berhad (TNB) telah memeterai dua perkongsian strategik dengan rakan seperniagaannya dari Indonesia dan Singapura untuk mempercepat usaha mewujudkan saling hubung Grid Tenaga ASEAN.

Ia juga bertujuan meningkatkan daya tahan tenaga, ke­terjaminan bekalan serta menggalakkan penyepaduan tenaga boleh baharu (TBB) di seluruh rantau ini.

Menurut TNB, melalui Memorandum Persefahaman (MoU) pertama, TNB bekerjasama dengan PT Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan Pusat Tenaga ASEAN (ACE), untuk menjalankan kajian bersama kebolehlaksanaan meneroka potensi ke­salinghubungan elektrik rentas sempadan menghubungkan Sumatera, Indonesia, dan Semenanjung Malaysia.

Katanya, projek kesalinghubungan itu dianggap penting dalam memudahkan penyepa­duan sumber TBB dan merangsang pembangunan ekonomi di seluruh negara anggota ASEAN.

“Skop kajian bersama kebolehlaksanaan merangkumi penilaian teknikal, semakan dasar dan peraturan, analisis ekonomi, rangka kerja komersil, penilaian awal kesan alam sekitar dan sosial, serta pelan pelaksanaan,” katanya dalam kenyataan.

Tambahnya, TNB bersama SP Power Assets (SPPA), syarikat penghantaran dan pengedaran elektrik terkemuka di Singapura, giat meneroka kebolehlaksanaan teknikal fasiliti kesa­linghubungan tenaga kedua di antara Semenanjung Malaysia dan republik itu.

“Apabila siap kelak, ia bakal meningkatkan lagi perdagangan tenaga antara kedua-duanya dan mengukuhkan daya harap bekalan tenaga,” jelasnya.

Majlis menandatangani kedua-dua MoU berlangsung ketika Mesyuarat Menteri Tenaga ASEAN (AMEM) Ke-41 di Bali, Indonesia pada 25 Ogos lalu. Ia dihadiri Menteri Sumber Asli, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim Malaysia, Nik Nazmi Nik Ahmad, bersama menteri tenaga negara ASEAN lain.

Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif TNB, Datuk Ir. Baharin Din berkata, pemeteraian MoU itu menandakan peristiwa penting dalam usaha TNB untuk mengukuhkan daya harap dan daya tahan grid tenaga ASEAN yang saling hubung.

“Ia juga akan menggalakkan penyepaduan TBB di rantau ini,” katanya.

Beliau turut menekankan bahawa APG yang saling hubung adalah langkah kritikal dalam peralihan tenaga rantau ini ke arah masa depan lebih bersih dan mampan. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN