Hasil kerajaan 2024 dijangka meningkat kepada RM307.6 bilion

[TINJAUAN EKONOMI/FISKAL] Hasil kerajaan 2024 dijangka meningkat kepada RM307.6 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUTIPAN hasil Kerajaan Persekutuan dijangka meningkat kepada RM307.6 bilion atau 15.6 peratus daripada Keluaran Dalam Negara kasar (KDNK) pada 2024, didorong kutipan cukai yang lebih tinggi.

Menurut Tinjauan Fiskal dan Anggaran Hasil Kerajaan Persekutuan 2024, hasil cukai terus menjadi penyumbang utama dan dijangka meningkat sebanyak 6.4 peratus kepada RM243.6 bilion berikutan pengembangan aktiviti ekonomi, peningkatan keuntungan syarikat dan penambahbaikan guna tenaga.

Sementara itu, hasil bukan cukai diunjur berkurang kepada RM64 bilion terutamanya disebabkan oleh dividen yang lebih rendah daripada Petroliam Nasional Bhd. (Petronas), seterusnya mencerminkan pengurangan kebergantungan kepada hasil berkaitan petroleum.

Tambahan pula, beberapa langkah akan dilaksanakan termasuk pengenalan cukai keuntungan modal bagi pelupusan saham tidak tersenarai oleh syarikat dan pelaksanaan e-invois.

Mengulas lanjut, jumlah perbelanjaan turut diunjur berkurang kepada RM393.8 bilion atau 19.9 peratus daripada KDNK didorong oleh komitmen kewangan yang lebih rendah berikutan ketiadaan penebusan bon 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

“Peruntukan perbelanjaan mengurus (OE) dijangka mencatat sebanyak RM303.8 bilion atau 15.4 peratus daripada KDNK, manakala peruntukan Perbelanjaan pembangunan (DE) sebanyak RM90 bilion atau 4.5 peratus.

“Kerajaan juga akan melaksanakan program rasionalisasi subsidi yang mana sebahagian penjimatan tersebut akan disalurkan untuk menambah baik program jaringan keselamatan sosial,” katanya.

Ujarnya lagi, selain itu, pelaksanaan program dan projek Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) seperti pembinaan lebuh raya dan landasan kereta api, program tebatan banjir, kemudahan kesihatan dan institusi pendidikan akan dipercepat bagi merancakkan aktiviti ekonomi.

“Secara keseluruhan, paras defisit fiskal dijangka terus menurun kepada 4.3 peratus  daripada KDNK dan kekal pada landasan konsolidasi selari dengan jangkaan hasil yang lebih tinggi dan perbelanjaan yang lebih rendah.

“Usaha ini akan menyediakan ruang fiskal yang luas untuk mendepani prospek global yang tidak menentu dan mengurangkan beban hutang dalam jangka masa panjang,” katanya.

Justeru itu, baki primer dianggar merekodkan defisit lebih rendah sebanyak 1.8 peratus daripada KDNK. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×